Rombakan Kabinet Tidak Selesaikan Masalah Ekonomi Rakyat

1682

KUALA TERENGGANU – Rombakan kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Najib Razak, dalam suasana negara menghadapi krisis ekonomi dengan kejatuhan nilai ringgit dan kos sara hidup yang tinggi tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Bahkan, Ahli Parlimen Dungun Ustaz Wan Hasan Mohd Ramli berkata, ia akan menimbulkan krisis politik baru kerana dibuat bukan atas kepentingan rakyat.

“Hari ini rombakan kabinet menimbulkan krisis politik . Ini bukan penyelesaian kepada masaalah rakyat dan negara,

“tapi kepentingan menjaga peribadi pemimpin. Bukan rombakan untuk kepentingan pengurusan negara dan rakyat tapi penerusan kronisma dan nepotisma,”tegasnya.

Bliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Najib memecat Timbalannya dan beberapa orang Menteri yang dilihat tidak sehaluan dengan beliau.

mohd nor ybBercakap atas isu yang sama, Ketua Penerangan PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah rombakan kabinet yang dibuat tidak lain adalah hanya untuk mengukuhkan cengkaman Najib bagi memastikan beliau boleh terus memimpin UMNO dan kerajaan BN.

“kita dikejutkan dengan satu rombakan kabinet yang diiisytiharkan oleh YAB PM dan yang paling mengejutkan ialah TPM digugurkan daripada kabinet, Yang pertama saya melihat bahawa rombakan kabinet dibuat adalah untuk mengukuhkan cengkaman Najib bagi memastikan dia terus memimpin UMNO dan kerajaan BN.

“Di waktu yang sama rakyat mesti menilai kecelaruan dan perpecahan yang ada dalam UMNO (dan) BN khususnya yang telah mengenepikan kepimpinan tertingginya,

“seperti (Tan Sri) Muhyidin dan Datuk Shafie Apdal sendiri yang merupakan naib presiden UMNO yang mewakili rakyat Sabah manakala Muhyiddin mewakili rakyat Johor,”jelasnya

Oleh itu, kata beliau, para pengundi Melayu yang mengundi UMNO boleh mengambil sikap dan pendirian mereka dalam pilihan raya kali akan untuk mengubah sokongan mereka kepada PAS.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong itu menyeru seluruh rakyat supaya melihat senario politik yang sedang berlaku dan menyatakan pendirian mereka.

“PAS kukuh pada hari ini dengan tidak ada campur tangan daripada pihak luar dalam menentukan prinsip dan halatuju PAS.

“InsyaAllah PAS berupaya untuk memberikan kepada rakyat pembangunan dan pentadbiran yang lebih baik dalam pilihan raya yang akan datang,”kata beliau.