Pembelian ‘Chicken Cottage UK’; Kerajaan Umno Terengganu Terlebih Bayar?

2167

KUALA TERENGGANU – Bukan Majlis Amah Rakyat (MARA) sahaja membuat pembelian aset di luar negara yang terlebih tetapi pemimpin Umno Terengganu juga disifatkan berbuat demikian.

Pemimpin kanan Umno Sabah Dato’ Seri Panglima Salleh Said Keruak ketika mengulas perlantikan Menteri Besar baharu, Dato’ Seri Ahmad Razif Mei lalu menulis, bekas Menteri Besar Dato’ Ahmad Said banyak menimbulkan ‘kontroversi’ yang dianggap ‘melukakan dirinya sendiri’.

“Ahmad Said telah menarik kontroversi lagi di sepanjang jalan selepas menghabiskan lebih RM1 bilion di istana baru Sultan di Cendering. Ia tidak begitu banyak perkara yang menjadi isu bagi istana tetapi bagaimana cara lebih RM1 bilion itu telah dibelanjakan.

“Baru-baru ini, Terengganu membelanjakan RM25 juta untuk membeli kepentingan dalam francais ayam di United Kingdom dipanggil Chicken Cottage,

“Komuniti perniagaan di UK mengatakan bahawa kerajaan terlebih bayar sebanyak RM10 juta,”tulis Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah yang juga pernah menjadi Ketua Menteri antara 1994 hingga 1996.

blog sskeruakSehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu Haji Ahmad Amzad Hashim mempersoalkan, apakah maksud pemimpin besar Umno Sabah itu menimbulkan persoalan tentang pembelian perniagaan di United Kingdom itu.

Beliau mengajak seluruh rakyat Terengganu menyemak kembali tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Terengganu itu, untuk dinilai oleh semua pihak.

“Apa maksud Dato’ Seri Panglima Salleh Said Keruak pemimpin besar UMNO Sabah dengan menimbulkan persoalan pembelian Chicken Cottage (dan perbelanjaan membina itu)

“Sekarang kita boleh mula letak kanta pembesar kepada semua cerita-cerita bagus yang diceritakan berkenaan dengan pelaburan ini yang melibatkan pegawai pegawai dan ahli politik Terengganu turun naik ke London untuk menjayakan perniagaan hebat ini,”soal Amzad.

Menurutnya, banyak isu-isu yang menjadi persoalan tidak dijelaskan oleh Ahmad Razif, termasuk polisi dan perkara besar berkaitan kerajaan yang ditimbulkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Antaranya, penggunaan bilik hotel yang menjadi pejabat kepada Abang Razif, yang sehingga sekarang tidak ada sebarang jawapan.

Salleh Said Keruak dalam blognya SSKeruak juga memberi contoh perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu yang telah menimbulkan ‘buah mulut’ dibawa orang.

“Sebagai contoh, pintu depan istana sendiri telah dikhabarkan mempunyai RM500,000 kos dan telah dianugerahkan secara kontrak perundingan.

“Oleh itu tidak ada ketelusan dalam pengurusan projek ini dan tiada siapa yang tahu bagaimana wang itu dibelanjakan,”tulis beliau dalam blognya.