Oleh : NHA
Program kebajikan dan kemasyarakatan merupakan program dan agenda penting Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu bagi merealisasikan misi memasyarakatkan PAS kepada semua. Islam merupakan Rahmat kepada seluruh alam dan tempiasnya kepada Muslim dan bukan Muslim.


Bagi melancarkan gerakerja kebajikan, Lajnah Kebajikan DMPNT mengambil inisiatif untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada kebajikan setiap kawasan. Sudah tentu, sumbangan ini sedikit sebanyak membantu setiap kawasan turun padang melaksanakan misi mereka.
Dalam pada itu, Ziarah Mahabbah DMPNT di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah diadakan bersama isteri Tuan Guru Presiden, To’ Puan Zainab Awang Ngah serta pimpinan muslimat baru-baru ini. Selain beramah mesra dengan para pesakit perempuan, sumbangan turut disampaikan sebagai tanda ingatan.


Di bulan Ramadhan ini juga, program kerohanian dilipat gandakan bagi mengejar ganjaran pahala yang dijanjikan. Tadarus al-quran, kuliah agama, usrah, ifthar dan pelbagai lagi giat dijalankan mengikut kemampuan masing-masing.
Sayap muslimat muda iaitu Ameerah tidak ketinggalan merancakkan aktiviti mereka di bulan yang mulia ini. Hampir setiap minggu, mereka giat turun padang mengedar risalah Ihya’ Ramadhan, risalah dakwah dan bubur lambuk. Selain itu, program sumbangan “Ameerah Care” kepada anak yatim dan fakir miskin tidak dilupakan. Program yang dijalankan samada ziarah kebajikan, ifthar kebajikan ataupun shopping kelengkapan raya dijalankan mengikut kesesuaian suasana.


Muslimat terus maju untuk bersama masyarakat. Walaupun berbeza ideologi fahaman politik, setiap mad’u didekati bagi menyebarkan dakwah dan Islam sebagai rahmat kepada semua. Sudah tentu, kerancakan program ini tidak akan terhenti dengan berakhirnya Ramadhan. Semoga muslimat terus gigih bekerja dan beristiqamah hingga kemenangan.





























