Oleh KAM
KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mengambil tindakan pro-aktif segera melaporkan kepada pihak berkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri terhadap satu skandal pembelian sebuah bangunan pada tahun 2009 di Mansourah, Mesir.
Bangunan tersebut bagi kegunaan asrama pelajar yang dibeli oleh Yayasan Terengganu (YT) milik kerajaan negeri dengan harga RM13 juta serta tidak munasabah.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata beliau menerima satu salinan dokumen pembelian dan perjanjian jual beli bangunan tersebut melalui kiriman pos.
Menurutnya, urusniaga pembelian bangunan tersebut bertempat di lot No.43/1108 di Kharnshafa Basin 11, Bahagian 2 No.50B, Jalan Mohamed Sabri, Jalan No.12/ Koreye Street/ Samy el Gamal, Mansoura, Daerah Dakahlia, Egypt seluas tanah 1.5 qirats i.e 262 meter persegi.
“Tanah dan bangunan itu dimiliki oleh Muhammad Ali Abu Shou’isha ID No.24504251500559 telah dijual kepada Mrs MervatMohamed Tawfiq al-Qaffas ID No.26104061500063 dengan harga dua juta EGP (RM1 juta).


“Jual beli itu juga ditandatangani oleh Ahmad Kamal Abdullah, Pasport No. R019251 sebagai saksi yang merupakan seorang kakitangan Yayasan Terengganu, yang bertugas di Mesir ketika itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyerahkan Laporan Salah Laku Kes Pembelian Bangunan di Mansourah, Mesir kepada Pegawai Siasatan SPRM jam 11.45 pagi di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu, 17 Mei lalu.
Soal siasat dan rakaman percakapan Ustaz Satiful Bahri dilakukan oleh Ketua Pegawai Siasatan SPRM negeri Terengganu, Syeikh Hamadi Syeikh Abd. Hamid selama satu setengah jam.
Ustaz Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka turut mempersoalkan tindakan seorang pegawai Yayasan Terengganu, Ahmad Kamal Abdullah yang terlibat secara langsung dengan urusan jual beli bangunan tersebut.
Katanya, Ahmad Kamal sendiri menjadi saksi bahawa perjanjian pembelian itu hanya melibatkan dua juta EGP (RM1 juta) tetapi macam mana pula kerajaan mendakwa membelinya dari Syarikat El-Attal Group Companies dengan harga RM13 juta.
Menurut beliau, pihak El Attal Group Companies membayar yuran konsultan yang tinggi melebihi RM3 juta atau USD894,000.00 kepada Dato’ Ahmad Syafei Sabarudin, yang mewakili Darul Rahmat And Ibsul Holdings Sdn. Bhd dengan tiga kali ganda melebihi harga tanah dan bangunan.
Bahkan, katanya pihak Yayasan Terengganu telah membayar sebanyak USD4 juta atau RM13 juta berbanding dengan jual beli yang hanya bernilai RM1 juta sahaja.
“Pembelian bangunan itu menunjukkan ada peningkatan harga yang sengaja dibuat dan ada pembayaran ‘pengurusan’ yang direka dengan tujuan mendapat imbuhan kewangan tidak wajar dan berunsur rasuah.
“Pengakuan pihak kerajaan (Ahmad Razif) sendiri bersedia untuk memberi kerjasama dan diadakan siasatan secara telus,” jelasnya.
Laporan tersebut dibuat oleh PAS berikutan pendedahan ‘mengejut’ oleh mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said ketika membahas titah ucapan Tuanku Sultan pada 12 Mei lalu, di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-13 di Wisma Darul Iman, dekat sini.
Malah, Dato’ Seri Ahmad mendakwa telah berlaku penyeleengan dan penipuan dalam urusan pembelian bangunan di Mansourah itu bagi kegunaan pelajar oleh Yayasan Terengganu.
Beliau (Ahmad) juga bertanggungjawab atas dakwaan tersebut serta bersedia bagi memberi kerjasama untuk siasatan dan tindakan.
“Mantan MB (Ahmad Said) dan MB Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd.Rahman semasa di dewan (Dun) Terengganu telah menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada pihak SPRM.
“Pihak kita (PAS) pun bersedia untuk beri kerjasama. Jadi, kita harap siasatan dapat dijalankan dengan sebaiknya. Sebab ini melibatkan amanah rakyat, dana yang melibatkan Yayasan Terengganu (YT),” tegasnya.
Menurutnya, daerah Mansourah bukan berada di tengah pusat bandar (Mesir) tetapi jauh di kawasan pendalaman dan jauh dari ibu negeri (Kaherah) di Mesir.
Tambah beliau, kos membeli sebuah bangunan hingga mencecah harga RM13 juta itu tidak munasabah dan diyakini mempunyai unsur penyelewengan telah berlaku dalam proses pembeliannya.




























