PAS Guna Kuasa Politik Untuk Selamatkan Negara

28

DUNGUN – Parti Islam SeMalaysia(PAS) menggunakan kuasa politik untuk menyelamatkan negara dengan mengawal dasar, menetapkan garis panduan dan memastikan pembangunan sosial selari dengan acuan ditetapkan.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia, Dr Tengku Mohammad Fakhruddin Tengku Fauzi mengajak golongan muda untuk bersama -sama PAS dan Perikatan Nasional agar parti itu dapat menerajui negara.

“Anak muda kena sedar tanpa kuasa politik, kita tidak boleh buat apa-apa, sebab itu kita kena ada kuasa, kuasa untuk kita memilih, kuasa untuk kita bergerak, dengan kuasa kita mencipta gelombang,

“Kita tiada cara lain untuk kita anak-anak muda kena bersama PAS dan Perikatan Nasional untuk kita selamatkan negara ini, supaya negara ini tidak hancur pada masa akan datang,” tegasnya.


Ketua Pemuda PAS Dungun

itu berkata demikian ketika berceramah dalam Program Chit Chat Santai di Pusat Tarbiyah dan Kafa Taman Permint (PUSTAKA) di sini semalam .

Ceramah tersebut diadakan sempena YB Cakna Komuniti Sejahtera di Unit Daerah Mengundi(UDM) Taman Permint Indah.

Beliau turut mengambil contoh, Pesta Makanan yang diadakan di Dungun, juga diselitkan konsert oleh penganjur.

“Saya minta Ahli Majlis Perbandaran Dungun ambil tindakan, batalkan konsert, jadi tindakan segera dapat diambil.

“Kita benarkan ‘Food Festival’ tetapi konsert tidak dibenarkan, kita gunakan kuasa politik kita untuk membentuk masyarakat yang ada dalam negara kita, ” jelasnya.

Turut sama berucap Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hamdi Dato’ Harun dan Timbalannya, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.

Sementara itu, Ustaz Hamdi Harun berkata Pemuda mendesak supaya kerajaan negeri memperkasakan lagi penguatkuasaan.

“Kita tidak kata, tidak boleh terus berhibur, kita minta perkasakan penguatkuasaan, dalam isu bercampur lelaki perempuan , kita tahu anak muda suka berhibur tetapi di sana ada garis panduan mesti dipatuhi dan kita tahu jugak

“Dalam masa yang sama tanggungjawab yang besar kepada Pemuda ialah membimbing dan mendidik anak-anak muda supaya tidak leka dengan perkara -perkata yang sedemikian,” ujarnya.