MB Kelantan Baru Dipilih Sendiri Oleh Tok Guru Nik Aziz

1134
http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/Nik%20Amar%20Salam%20Ahmad%20Yakob.jpg

Datuk Ahmad berkata permintaan Tok Guru Nik Aziz itu turut mendapat restu daripada pimpinan PAS Pusat.

“(Pemilihan) sebenarnya sebelum pilihan raya tetapi saya beri peluang kepada Tok Guru (gelaran Datuk Nik Aziz) supaya memilih mana-mana (pihak) sebab saya suka pada mana-mana sahabat (di kalangan pemimpin PAS) untuk menjadi Menteri Besar.

“Tetapi bagi Tok Guru, dia mahu satu perkataan sahaja… tidak mahu lebih daripada itu. Jadi, apabila tidak ada pilihan dan telah dipersetujui oleh PAS Pusat, saya secara sukarela menerima tanggungjawab yang tinggi dan besar ini,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kelantan di hadapan Sultan Muhammad V Tengku Muhamad Faris Petra Sultan Ismail di Istana Negeri Kubang Kerian dekat sini, Isnin 6 Mei.

Pelantikan Datuk Ahmad, 63 tahun, sebagai Menteri Besar sekali gus mengakhiri pimpinan Tok Guru Nik Aziz di kerajaan negeri selama 23 tahun sejak 1990.

Tanpa sebarang petanda sebelum ini, Tok Guru Nik Aziz memberi laluan kepada timbalannya itu kerana faktor kesihatan.

Sehubungan itu, Datuk Ahmad berkata pemilihan tersebut bukan sahaja memberi kejutan kepada seluruh rakyat Kelantan, malah beliau sendiri.

“Ini terutama antara saya dengan Tok Guru yang begitu jauh dari segi keilmuan, kewarakan dan sebagainya… tidak dapat ditandingi lagi. Bagaimanapun, perkara ini sebagai Menteri Besar adalah tanggungjawab dan amanah,” katanya.

Ditanya samada pelantikan itu akan menjejaskan pimpinan PAS negeri, Datuk Ahmad berkata ia merupakan suatu kejutan kepada semua pada peringkat pertama tetapi perlu menerima hakikat bahawa Tok Guru Nik Aziz sentiasa uzur atas faktor usia.

Datuk Ahmad Yakob berazam, beliau akan meneruskan visi dan misi yang diperjuangkan oleh Tok Guru Nik Aziz yang berpengalaman sebagai Menteri Besar selama 23 tahun. – BHSpore