Oleh itu, Parti Islam SeMalaysia (PAS) mencadangkan agar pecahan pengundi di sesuatu kawasan itu tidak lagi mengikut komposisi kaum semata-mata, agar kerajaan dan terutamanya ahli-ahli politik boleh bercakap tentang semua sudut permasalah negara dan bukan fokus satu-satu kaum sahaja.
“Pecahan pengundi mengikut kaum semata-mata selama lima dekad telah mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada perpaduan kaum di dalam negara kerana seluruh rakyat Malaysia,
“kerajaan dan terutamanya ahli-ahli politik akan berbicara segala permasalahan negara daripada sudut kaum semata-mata seperti yang sedang berlaku pada waktu kini,
“PAS mencadangkan agar pecahan pengundi sesuatu kawasan tidak lagi mengikut komposisi kaum semata-mata,”kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan yang dihantar kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas permainan sentimen perkauman yang melampau oleh Umno dan Barisan Nasional selepas mencatat rekod pencapaian terburuk dalam sejarah pada keputusan pilihanraya umum kali ke-13, Ahad 5 Mei lalu.
Menurutnya, pecahan pengundi mengikut kaum dilaksanakan SPR selama ini juga dipercayai dibuat mengikut selera dan pecahan parti komponen BN, yang semuanya terdiri daripada parti berdasarkan kaum untuk memudahkan setiap parti komponen menjaga undi kaum masing-masing.
Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya, perkara ini dirombak, dengan SPR mengeluarkan pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang disalurkan kepada media dan rakyat.
“Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan,”tegasnya.
Beliau memberi contoh, pecahan pengundi boleh dilakukan mengikut usia seperti dibawah;
21-34 tahun: 35%
35-50 tahun: 40%
50-60 tahun: 15%
60 tahun ke atas: 10%
Katanya, berdasarkan data-data sedemikian, parti-parti dan ahli-ahli politik akan berbicara mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, dan secara automatik isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum.
“Ini boleh mengurangkan risiko berlakunya keadaan masa kini di mana ada pihak-pihak yang sengaja menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk meraih undi dan melaga-lagakan kaum demi mendapat modal politik murahan.
“Pecahan undi mengikut perspektif jantina juga boleh mengurangkan risiko ahli politik menggunakan isu perkauman dan agama untuk meraih undi,
“Cukuplah rakyat dan negara ini di’pakai’kan cermin mata berdasarkan pecahan kaum – Malaysia boleh bergerak ke arah lebih makmur dan berpadu sekiranya kita memakai kacamata yang lebih menjurus ke arah perpaduan,”jelasnya.
Beliau mencadangkan, data pengundi berdasarkan usia boleh dilakukan oleh SPR mulai sekarang ketika membersihkan daftar pengundi. Pecahan pengundi baru mengikut usia boleh dilaksanakan kerana ia tidak susah kerana segala maklumat sudah ada pada kad pengenalan pengundi.
Selain itu, katanya, supaya lebih adil kepada parti-parti yang bertanding, PAS juga mencadangkan agar sistem pilihanraya dirombak mengikut peratusan undi yang diperolehi oleh setiap parti.
“Jumlah peratusan undi akan mewakili parti tersebut di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Kaedah ini ternyata lebih adil bagi parti yang bertanding, di mana jumlah kerusi parlimen dan DUN adalah berdasarkan peratus undi popular yang diterima keseluruhannya.
“Ini mengelakkan manipulasi persempadanan semula yang memboleh parti pemerintah terus memerintah walaupun tewas undi popular di seluruh negara kerana kerusi-kerusi strategik dengan jumlah pengundi yang rendah dimenangi dengan banyak,”tambahnya.




























