PAS Ucap Terima Kasih Pengundi Cina Yang Sokong Calon Melayu

773

Parti Islam SeMalaysia (PAS) merakam penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi kaum Tionghua (Cina) yang turut mengundi calon-calon PAS dan PKR dalam PRU13.

Pengundi Cina sanggup memberi undi kepada calon Melayu tanpa sentimen perkauman sempit sebagaimana yang didakwa oleh Umno. Terdapat berpuluh kerusi parlimen dan DUN yang ditandingi oleh calon Melayu melawan calon dari kaum Tiong Hua dalam kawasan campuran dimenangi oleh calon Melayu, membuktikan pengundi Cina sanggup menolak calon dari kaum mereka sendiri.

Ini sekaligus membuktikan dakwaan  bahawa pengundi cina menolak melayu hanyalah fitnah.

PAS mengingatkan Umno agar jangan bermain api perkauman dengan keputusan pilihanraya ke 13, dengan mengapi-apikan isu Cina menentang Melayu.

Tindakan ini langsung tidak berpijak kepada fakta keputusan sebenar, bahkan lebih kepada membakar perasaan rakyat bagi menimbulkan kebencian antara kaum

Tindakan MCA menolak sebarang jawatan dalam kerajaan jelas menyumbang kepada jurang kebencian yang sengaja diapi- api oleh BN. Tindakan ini akan dilihat seolah-olah seluruh barisan kabinet dan kepimpinan di semua peringkat akan dikuasai oleh orang melayu sahaja.

Yang perlu ditanya ialah apa tujuan di sebalik tindakan ini?

Sentimen perkauman ini sedang ditiup kuat oleh media perdana bagi menutup pandangan rakyat terhadap penyelewengan PRU13 serta kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mendapat mandat yang lebih besar sebagaimana yang diwar-warkan sebelum PRU13. 

Ia juga sebahagian usaha menutup isu pendatang asing yang turut mengundi, dan tidak mustahil tindakan perkauman ini akan disusuli dengan pelbagai tindakan bagi mengalih kemarahan rakyat terhadap kecacatan sistem pilihanraya negara ini.

Tidak boleh diketepikan ialah pandangan bahawa strategi ini mungkin adalah sebahagian dari usaha Najib bagi mengekalkan kedudukannya dari dicabar oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagaimana nasib yang menimpa Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana gagal mempertahankan sokongan kepada BN.

Apakah isu perkauman ini akan menjadi penyelamat kedudukan Najib di dalam Umno setelah Tun Dr Mahathir menyatakan kekecewaannya secara terbuka terhadap prestasi terburuk BN di PRU13

 

Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat