DUNGUN – Bangunan PAS Dungun Fasa Dua yang dirasmikan semalam adalah hasil doa, pengorbanan, kesungguhan dan kerjasama seluruh ahli serta pendukung kawasan itu.
Pengurus Projek Pembinaan Bangunan Baharu (Fasa Dua) PAS Dungun, Ustaz Wan Mohd Sufiyan Wan Ismail menyingkap sejarah pembinaan yang bermula dengan majlis pecah tanah pada 27 Mei 2022.
” Majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh Presiden PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
“Selepas itu, pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa kita lalui sebelum kerja-kerja pembinaan akhirnya dapat dimulakan pada 1 Mei 2024,” jelasnya.
Beliau yang juga Bendahari PAS Dungun berkata demikian di Majlis Perasmian Bangunan itu yang disempurnakan perasmiannya oleh Presiden PAS,Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disini semalaman.
Menurutnya bangunan tersebut berjaya disiapkan pada bulan Ogos yang lalu, dengan keseluruhan kos pembinaan berjumlah RM948,223.88.
“Kepada para penyumbang, dermawan, pimpinan, ahli, sukarelawan, kontraktor, jawatankuasa pembinaan dan semua yang terlibat, hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala jasa dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan.
“Bangunan ini bukan sekadar sebuah bangunan fizikal, tetapi kita harapkan ia menjadi pusat gerakan, pusat tarbiah, pusat khidmat masyarakat dan pusat penyatuan seluruh ahli PAS di Kawasan Dungun,” ujarnya..






























