Jentera Kuala Terengganu Siap Siaga, PRU Bila-Bila Masa

3

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Kuala Terengganu melancarkan jentera pilihan raya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan parti di peringkat kawasan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Arifin Deraman, berkata persediaan awal amat penting bagi memastikan seluruh jentera memahami peranan masing-masing serta mampu melaksanakan gerak kerja secara tersusun apabila tiba musim pilihan raya.

“Walaupun tarikh rasmi pembubaran Parlimen belum diputuskan, kita perlu bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Jangan tunggu sehingga pilihan raya diumumkan, baru kita hendak bergerak,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman pilihan raya lalu juga memberikan gambaran bahawa strategi yang tersusun, khususnya menerusi pembahagian kawasan dan perundingan kerusi, mampu menghasilkan keputusan yang besar.

“Keputusan pilihan raya lalu menunjukkan kebolehan mencapai kemenangan besar menerusi formula pembahagian kawasan dan perundingan kerusi yang strategik,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman tersebut perlu dijadikan panduan dalam memperkemas perancangan menghadapi PRU akan datang, selain memastikan kekuatan jentera dapat diselaraskan dengan baik di setiap DUN.

Katanya, kekuatan sesebuah jentera bukan sahaja bergantung kepada jumlah anggota, tetapi turut melibatkan penyelarasan gerak kerja, pembahagian tugas serta keupayaan setiap peringkat melaksanakan perancangan yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera PAS Kawasan Kuala Terengganu supaya terus memperkukuh gerak kerja di lapangan dan memanfaatkan pengalaman pilihan raya lalu sebagai asas untuk memperkemas strategi menghadapi PRU akan datang.

Pelancaran tersebut turut menjadi medan untuk memperkukuh kesediaan jentera di peringkat kawasan, selain menyatukan gerak kerja agar lebih terarah dalam menghadapi cabaran pilihan raya yang bakal ditempuhi.