Kuala Terengganu Cadang Kekal Guna Lambang PAS Pada PRU Ke 16

6

KUALA TERENGGANU – Kawasan Kuala Terengganu mencadangkan agar PAS kekal menjadi parti utama yang bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pendirian tersebut akan disampaikan kepada kepimpinan parti sekiranya timbul perbincangan berhubung penggunaan lambang PAS atau Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, Terengganu dan Kelantan ketika ini merupakan dua negeri yang masih menggunakan nama dan lambang PAS dalam pilihan raya, berbeza dengan negeri-negeri lain bertanding menggunakan lambang PN.

“PAS Kawasan Kuala Terengganu mahu mencadangkan supaya PAS Terengganu mengekalkan parti PAS sebagai parti utama yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional di negeri Terengganu ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Kuala Terengganu, di Kuala Ibai semalam.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, kawasan Kuala Terengganu meletakkan sasaran untuk mengekalkan kemenangan di keempat-empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen di bawah kawasan berkenaan.

Katanya, kemenangan pada PRU-16 amat penting bagi PAS Terengganu kerana ia berpotensi mencipta sejarah dengan kemenangan tiga kali berturut-turut selepas kejayaan pada tahun 2018 dan 2023.

“Ini tekad dan hasrat kita untuk mengekalkan kemenangan di keempat-empat DUN dan juga satu Parlimen dalam kawasan Kuala Terengganu.

“Kita yakin hasrat ini dapat dicapai dengan kerja keras seluruh penyokong daripada semua cawangan dan sayap parti termasuk Ulama, Pemuda, Muslimat, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan Ameerah yang telah bekerja siang dan malam sejak sekian lama,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan agenda Penyatuan Ummah yang digagaskan Presiden PAS sebagai antara perbincangan penting dan hangat yang mendapat persetujuan dan kesepakatan sebulat suara dalam Muktamar PAS.

Menurutnya, agenda tersebut bertujuan membentuk kekuatan politik yang lebih kukuh demi memastikan kestabilan dan keamanan negara.

Dalam masa sama, beliau berkata, perkembangan politik di Melaka selepas ini juga wajar diberikan perhatian kerana model kerjasama yang bakal diputuskan dipercayai boleh menjadi ikutan di negeri-negeri lain.

Namun, beliau menegaskan seluruh jentera PAS perlu terus memperkukuhkan gerak kerja di peringkat akar umbi sementara menunggu sebarang keputusan muktamad daripada kepimpinan tertinggi berhubung kerjasama politik.

“Selagi belum ada ketetapan yang jelas dan muktamad daripada kepimpinan, kita kena bergerak seperti biasa, melipatgandakan usaha, mengukuhkan ahli-ahli PAS dan menghampiri rakyat.

“Apabila sudah ada arahan dan ketetapan daripada kepimpinan, maka kita sami’na wa ata’na dan bergerak mengikut arahan,” katanya.

Wan Sukairi turut mengingatkan jentera parti supaya tidak hanya bergantung kepada kekuatan organisasi dan gerak kerja pilihan raya semata-mata, sebaliknya memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT.

Katanya, keyakinan bahawa kemenangan datang daripada Allah perlu terus menjadi pegangan seluruh ahli dan jentera PAS dalam menghadapi PRU-16.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera turun ke lapangan, mendekati rakyat serta menyebarkan mesej perjuangan dan kebajikan PAS bagi memastikan kesinambungan kemenangan parti di Terengganu.