Fardu Ain , Pendidikan Islam Teras Lahirkan Pemimpin Berintegriti

3

HULU TERENGGANU – Penguasaan ilmu fardu ain dan pendidikan Islam seawal usia kanak-kanak merupakan benteng utama dalam membentuk syakhsiah diri serta melahirkan generasi pemimpin yang berintegriti tinggi.

Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS),Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, asas agama yang kukuh sejak kecil mampu menyucikan hati dan akal, sekali gus membendung amalan negatif seperti rasuah, penipuan, dan pengkhianatan apabila seseorang itu memegang amanah dalam masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa setiap anak yang dilahirkan berada dalam keadaan fitrah yang bersih, dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan peganKgan serta cara hidup mereka.

“Antara kewajipan utama ayah terhadap anak adalah memilih nama yang baik berteraskan nama para Nabi, sahabat, mahupun ulama, memberikan pendidikan ilmu mengikut kemampuan apabila mereka mula berakhlak, serta mengahwinkan mereka apabila sampai waktunya.

“Anak-anak juga perlu diajar mendirikan solat seawal umur tujuh tahun dan dikenakan disiplin pukulan mendidik jika meninggalkan solat pada usia 10 tahun, di samping dipisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian bersempena Majlis Perasmian Kompleks Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Hijau Kuala Berang, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menjelaskan bahawa kebergantungan kepada sistem pendidikan Barat yang mengabaikan disiplin serta teguran mendidik telah menyebabkan kerapuhan institusi kekeluargaan sehingga anak-anak hilang rasa hormat kepada guru dan ibu bapa.

Katanya, berpandukan Hadis Jibril, tiga asas utama ajaran Islam iaitu Islam, Iman, dan Ihsan merupakan asas fardu ain yang wajib ditanam dalam diri setiap individu.

“Apabila asas fardu ain ini dipenuhi dan diperkukuhkan pula dengan penguasaan ilmu fardu kifayah seperti bidang agama, politik, ekonomi, perubatan, serta kejuruteraan, barulah lahir pengurus dan pemimpin yang berwibawa.

“Asas pembentukan ini bermula dari rumah. Dalam Islam juga tidak wujud konsep ‘rumah orang tua’ kerana menjaga ibu bapa yang uzur merupakan tanggungjawab anak-anak dan ahli keluarga,” tegas beliau.

Tambah beliau, kejayaan mendidik dan menyelamatkan seorang manusia dengan ilmu agama merupakan satu pelaburan bernilai tinggi yang melebihi harga kenderaan termahal di dunia.

“Mendidik anak diibaratkan seperti menanam benih yang baik; perlu disiram, dijaga, dan dipagar agar membesar dengan segar serta mengeluarkan buah yang bermanfaat.

“Apabila seseorang insan meninggal dunia, amalan yang terus mengalirkan pahala di dalam kubur ialah sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, walaupun sekadar mengajar membaca Bismillah atau adab makan serta doa daripada anak yang soleh,” katanya.