HULU TERENGGANU – PAS kini diibaratkan seperti air banjir yang sukar disekat atau dihalang mana-mana parti politik berikutan perkembangan sokongan rakyat terhadap parti itu yang semakin meluas.
Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Berang, YB. Dr Haji Mamad Puteh berkata, momentum tersebut perlu diperkukuhkan menerusi penyusunan organisasi, pengaktifan cawangan serta gerak kerja penerangan yang berterusan.
“PAS ini ibarat seperti air yang sudah tidak dapat ditahan, dicanggah dan dihalang oleh parti pemerintah sama ada Umno, Pakatan Harapan (PH) ataupun BN.
“Dengan perkembangan yang ada ini, saya mengharapkan dan menjangka PAS akan menjadi sebuah parti yang amat penting dalam menerajui Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan Unit Tubuh Kawasan Hulu Terengganu di Kompleks PAS Hijau, pada Selasa 8 September.
Menurutnya, ahli PAS perlu memanfaatkan sepenuhnya teknologi dan saluran maklumat, khususnya dalam kalangan golongan muda, bagi menyampaikan maklumat dan mesej parti kepada masyarakat.


ADUN Kuala Berang itu menambah, kekuatan parti perlu dibina secara berterusan dan bukan hanya apabila pilihan raya semakin hampir kerana kemenangan memerlukan persiapan jangka panjang.
Katanya, pendekatan sama perlu diperluaskan ke negeri-negeri lain termasuk Johor dengan membina kekuatan akar umbi secara konsisten.
“Kita mestilah menanam biji benih dari hari ini. Insya-Allah akan tumbuh biji benih subur di bumi Johor. Kita mengharapkan dalam 20 tahun lagi PAS akan menjadi majoriti kerusi di Johor,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dr Mamad berkata PAS perlu bersedia bukan sekadar untuk menghadapi PRU-16, tetapi turut mempunyai perancangan jelas mengenai pentadbiran negara sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
Tambahnya lagi, perkara itu selari dengan tema ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, “Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan” pada Muktamar PAS Ke-72 yang memberi penekanan terhadap persediaan mengisi kemenangan selepas parti memperoleh mandat.


“Apabila kita menang di Putrajaya, nak buat apa? Orang-orang cerdik pandai akan tanya hala tuju.
“Jadi, kita perlu faham matlamat dan hala tuju yang dibentangkan oleh Tuan Guru untuk kita menghadapi dan mentadbir apabila kita menang nanti,” tegasnya.
Justeru itu kata beliau, perancangan jangka panjang PAS turut mengambil kira Wawasan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 2051) yang merangkumi aspek politik, ekonomi, sosial dan dasar antarabangsa.
Ujarnya lagi, aspek politik perlu berteraskan integriti, keadilan dan kestabilan, manakala ekonomi pula perlu memberi tumpuan kepada kemakmuran serta pengagihan kekayaan negara.
Oleh itu katanya, pendidikan, kesihatan dan kebajikan masyarakat juga perlu menjadi antara agenda penting dalam membentuk masa depan negara.
Dalam aspek pendidikan, beliau berkata PAS turut memberi perhatian kepada usaha memperkasakan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), termasuk dari segi kemudahan dan kebajikan guru.
“Bila kita duduk di peringkat Persekutuan, insya-Allah kita boleh laksanakan dan lebih senang untuk kita menggerakkan pendidikan yang tidak formal ini dan juga pendidikan-pendidikan yang lebih formal di masa-masa akan datang,” katanya.




























