PRN Melaka Jadi Penentu Rundingan Kerjasama PAS-UMNO

4

ERENGGANU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi penentu penting terhadap hala tuju kerjasama politik antara PAS dan Umno, khususnya dalam menentukan formula pembahagian kerusi menjelang pilihan raya akan datang.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, rundingan pembahagian kerusi di Melaka kini diserahkan kepada kepimpinan PAS Pusat dan masih diteruskan melibatkan keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Menurutnya, Melaka dilihat sebagai medan awal untuk menguji kesediaan semua pihak mencapai persefahaman sebelum menghadapi pilihan raya di negeri-negeri lain.

“Melaka ini kita serah kepada PAS Pusat untuk membuat keputusan dan perbincangan sedang diteruskan mengenai berapa kerusi daripada 36 kerusi itu untuk pembahagian.

“Kita tengok Melaka dahulu kerana ia akan menjadi contoh dalam pilihan raya ini. Selepas Melaka, kemungkinan pilihan raya di negeri-negeri lain pula akan menyusul,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Market Innovation Showcase 2026 dan Peluncuran Studio TikTok Shop Live di Hub Digital Niaga Terengganu, di perkarangan Pusat Dagangan Terengganu, semalam.

Ariffin menambah, prinsip status quo boleh menjadi asas kepada rundingan pembahagian kerusi, namun perkara itu masih terbuka untuk perbincangan berdasarkan kekuatan dan rekod kemenangan setiap parti.

Katanya, PAS dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai asas untuk menuntut kerusi tertentu di Melaka memandangkan PN memenangi tiga kerusi Parlimen walaupun Umno menguasai 21 kerusi DUN di negeri berkenaan.

“Kalau kita langsung tidak ada asas kemenangan, memang susah untuk kita meminta kerusi. Tetapi apabila kita ada asas, maka perkara itu boleh dibincangkan.

“Kalau ada pihak yang berkeras juga, maka Melaka ini akan menjadi asas kepada perbincangan untuk pilihan raya umum akan datang,” ujar Ariffin.

Menurut beliau, PAS Terengganu pula masih memberi tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya di Melaka walaupun pembahagian kerusi belum dimuktamadkan.

Katanya, jentera PAS Terengganu telah turun membantu di DUN Rembia selama empat hari dua minggu lalu dan dijadualkan kembali ke kawasan itu minggu hadapan.

“Walaupun kerusi belum disahkan, kita tetap pergi membantu. Cuma kita belum ‘all out’ dan banyak menyerahkan gerak kerja kepada jentera tempatan,” tambah beliau.

Mengulas kemungkinan kerjasama PAS dan Umno di Terengganu, Ariffin berkata, PAS negeri akan mengikut keputusan dan hala tuju yang ditetapkan oleh kepimpinan pusat.

Ujarnya lagi, perkembangan hubungan kedua-dua parti ketika ini menunjukkan ruang kerjasama masih terbuka, termasuk penglibatan pemimpin PAS dalam beberapa program Umno.

“Kalau keadaan ini berterusan dan Melaka berjaya menjadi contoh yang baik, insya-Allah akan ada ruang untuk kerjasama.

“Pada saya, isu utama bukan soal boleh atau tidak bekerjasama, tetapi bagaimana pembahagian kerusi itu hendak dibuat,” katanya.

Namun beliau mengakui PAS turut mengambil perhatian terhadap suara daripada dalam Umno yang membangkitkan soal pembahagian kerusi, termasuk kemungkinan untuk bertanding di Terengganu.

Ariffin menegaskan, PAS bersedia berbincang secara terbuka dan mengambil kira kekuatan setiap parti di sesuatu negeri.

Katanya lagi, PAS sebelum ini juga menunjukkan kesediaan untuk tidak menuntut kerusi di kawasan yang diketahui bukan kekuatannya, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan, demi memastikan kerjasama politik dapat dibentuk.

“Kalau kita tahu kita tidak kuat di sesuatu tempat, kita boleh beri kepada mereka dan kita sokong.

“Tetapi kalau Umno mahu bertanding di Terengganu dan kita bertanding di tempat lain secara berasingan, maka itu pun satu bentuk keputusan dan kita bersedia menghadapinya.

“Di Terengganu kita ikut pusat lah, kalau berjaya di Melaka, nampak muktamar dia mari ketua ulama kita pergi, muttaqa ulama UMNO dan kita tengok PAU, PAU ni kita ada lah beberapa orang pemimpin yang hadir.

“Kalau ini berterusan, kalau Melaka okey, nampak akan ada nilah, insya-Allah insya-Allah rasa,” ujarnya.