MARANG – Umat Islam diseru supaya tidak takut menghadapi kehidupan sehingga meletakkan pergantungan kepada manusia, sebaliknya memperkukuhkan keyakinan dan tawakal sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi segala ujian.
Presiden PAS, YB. Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, seseorang yang benar-benar yakin kepada Allah SWT tidak mudah digoncang oleh ancaman, kesempitan rezeki atau pelbagai tekanan dalam kehidupan.
Menurut beliau, manusia hanyalah menjadi sebab, manakala segala rezeki, kebaikan dan mudarat berlaku dengan ketentuan Allah SWT.
“Jika Allah SWT menetapkan sesuatu rezeki atau kebaikan untuk kita, tidak ada sesiapa yang mampu menghalangnya, sebagaimana tiada siapa yang mampu memberikan mudarat melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh-Nya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Tuan Guru Abdul Hadi turut mengingatkan umat Islam terhadap pesanan Rasulullah SAW kepada Abdullah bin Abbas RA supaya menjaga Allah SWT dengan menjaga agama, mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
Katanya, apabila seseorang menjaga hubungannya dengan Allah SWT, maka Allah akan menjaganya dengan pertolongan dan perlindungan-Nya.
“Apabila meminta sesuatu, mintalah kepada Allah dan apabila memohon pertolongan, mintalah kepada Allah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa umat Islam tidak seharusnya takut untuk melaksanakan kerja-kerja Islam atau mudah berganjak daripada pendirian hanya kerana berdepan pelbagai ujian dan tekanan.
Sebaliknya, katanya, umat Islam perlu mengenali dan mengingati Allah SWT ketika berada dalam kesenangan agar sentiasa mendapat kekuatan untuk kembali kepada-Nya ketika ditimpa kesusahan.
“Jangan takut dalam melaksanakan kerja-kerja Islam dan jangan mudah berganjak hanya kerana berdepan ujian. Teguhkan iman, serahkan urusan kepada Allah SWT.
“Dan yakinlah bahawa pertolonganNya sentiasa bersama mereka yang benar-benar bertawakal kepada-Nya,” tambah beliau





























