BACHOK — Dewan Muslimat PAS Malaysia akan memperkukuh gerak kerja jentera pilihan raya menerusi pendekatan 3J iaitu Jejak, Jumpa dan Jaya sebagai persediaan mendekati serta menawan hati pengundi.
Ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh berkata, pendekatan itu perlu dilaksanakan secara tersusun dengan memperkasa jentera Muslimat untuk mengenal pasti pengundi, berjumpa dengan mereka dan seterusnya membina hubungan yang mampu memberi impak kepada gerak kerja pilihan raya.
“Jentera Pilihan Raya Muslimat melalui 3J – Jejak, Jumpa, Jaya dengan memperkasa jentera Muslimat untuk menjejak atau mencari pengundi, seterusnya berjumpa dengan mereka dan menawan hati mereka dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia, di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Bachok, Kelantan, hari ini.


Menurut Nuridah, gerak kerja pilihan raya tidak seharusnya bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu disokong menerusi aktiviti kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Tambah beliau, Skuad Prihatin, Skuad Sihat dan Gerakan Wanita Sejahtera perlu terus bergerak aktif sebagai instrumen kebajikan, kesatuan dan pembinaan ummah mengikut fungsi serta peranan masing-masing.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kekuatan jentera Muslimat perlu berasaskan konsep wehdah iaitu kesatuan amal, fikrah dan hati.
“Perkukuhkan ukhuwah, saling mempercayai dan hormat-menghormati antara satu sama lain serta hindari segala unsur yang boleh mencetuskan perpecahan dalaman dan melemahkan kekuatan jemaah,” ujarnya.


Tambah Nuridah, amanah kepimpinan juga tidak boleh ditunggu secara pasif, sebaliknya perlu dipersiapkan dan dibuktikan melalui gerak kerja yang tersusun, berterusan serta berorientasikan hasil.
Selain agenda pilihan raya, beliau turut menggariskan empat teras lain bagi memperkukuh gerak kerja Muslimat iaitu Gerakan Tarbiah dan Dakwah, Gerakan Keluarga Haraki, Gerakan Muslimat Muda dan Progresif serta Gerakan Muslimat Negarawan.
Jelasnya lagi, keseluruhan agenda berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan yang boleh diukur dan dipantau supaya gagasan yang dibincangkan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Justeru itu beliau turut menyeru anggota Muslimat supaya meneruskan gerak kerja selepas muktamar dengan menghidupkan tarbiah, mengukuhkan keluarga, memanfaatkan ilmu, menyantuni rakyat dan melaksanakan keputusan yang telah dipersetujui.
“Kita mahu Muslimat yang selalu bertanya kepada diri, apakah yang saya boleh berikan kepada Islam, kepada rakyat dan kepada negara?
“Di bawah panduan Islam, wanita mesti hadir sebagai pembina kegemilangan ummah,” tambah beliau.































