Pemuda PAS Gesa Usaha Penyatuan Ummah

28

KOTA BHARU — Pemuda PAS menggesa agar agenda penyatuan orang Melayu-Islam diterajui secara serius merentasi perbezaan parti politik.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, realiti semasa menunjukkan perpecahan politik yang ketara dalam kalangan orang Melayu-Islam telah membuka ruang kepada pihak lain untuk mengisi kepimpinan negara sekali gus melemahkan penentuan agenda bersama.

Menurut beliau, usaha penyatuan tidak boleh sekadar bersifat bermusim atau digerakkan hanya ketika menjelang pilihan raya, sebaliknya perlu dipimpin dengan meletakkan kepentingan ummah mengatasi kepentingan kelompok dan peribadi.

“Penyatuan tidak boleh bermusim. Kita tidak boleh bersatu ketika mahu menang, tetapi kembali bertelagah setelah mendapat kemenangan. Kita tidak boleh hanya duduk bersama apabila mempunyai musuh yang sama, tetapi berpisah apabila kepentingan politik mula berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucaptama bertemakan ‘Memimpin Penyatuan’ sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia yang berlangsung di Kelantan.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi menggariskan lima teras utama dalam memimpin penyatuan, iaitu menyatukan akidah, saf, usaha, tekad, dan matlamat, di samping menggerakkan empat segmen bertindak melibatkan institusi agama, generasi baharu, golongan profesional serta pemeliharaan keharmonian masyarakat majmuk.

Beliau turut memaklumkan bahawa seluruh gerakan dan persefahaman yang dibina akan dibawa ke satu himpunan mega Penyatuan Ummah dalam masa terdekat, susulan kehadiran delegasi sayap pemuda parti politik lain termasuk Pemuda UMNO pada muktamar berkenaan sebagai isyarat kerjasama merapatkan jurang politik terdahulu.

Jemput 5 Datang 25 Curi Tumpuan

Sementara itu, Dewan Muktamar Pemuda PAS Malaysia hari ini gamat dengan usikan santai terhadap kehadiran luar jangka delegasi Pemuda UMNO.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden, mendedahkan bahawa pihaknya pada asalnya hanya menghantar jemputan rasmi kepada lima wakil, namun terkejut apabila menerima kehadiran seramai 25 pimpinan sayap parti ke muktamar tersebut.

“Saya WhatsApp kepada Dato’ Dr. Akmal, ramai-ramai ni nak masuk PAS ke?” katanya berseloroh semasa menyampaikan ucaptama bertemakan ‘Memimpin Penyatuan’ di hadapan ribuan perwakilan.

Gurauan spontan itu disambut ketawa dan tepukan gemuruh para muktamirin, sekali gus mencerminkan hubungan akrab serta keserasian yang kian terjalin antara kepimpinan pemuda kedua-dua parti politik Melayu-Islam terbesar negara berkenaan.

Afnan Hamimi menegaskan bahawa kehadiran besar itu bukan sekadar angka, sebaliknya manifestasi kesungguhan generasi muda parti untuk merintis semula jambatan penyatuan tanpa dibayangi luka sejarah lama generasi terdahulu.

“Kalau pun ayah-ayah, abang-abang kita di atas ada sejarah mereka tersendiri, tak apalah, itu zaman mereka. Mereka melalui semak samun hutan yang tebal… Kita para pemuda meneruskan laluan yang telah pun mereka bina,” tegas beliau.

Menurut beliau, usaha penyatuan ummah tidak boleh bersifat bermusim atau digerakkan hanya ketika menjelang pilihan raya semata-mata, sebaliknya perlu dipimpin secara berterusan berasaskan keikhlasan dan pegangan syariat Islam.

Perhimpunan tahunan sayap pemuda itu turut menyaksikan kehadiran pimpinan komponen Perikatan Nasional serta pimpinan sayap sayap parti lain, seminggu sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO.