Assabiqun Jadi Mentor Generasi Baharu Agar Tidak Lupa Perit Perjuangan

2

KOTA BHARU- Dewan Assabiqun PAS perlu terus memainkan peranan sebagai pembimbing dan mentor kepada generasi baharu agar kejayaan politik yang dikecapi parti ketika ini tidak menyebabkan generasi muda melupakan sejarah serta kepayahan perjuangan mereka yang terdahulu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Amar Diraja, Mohd Amar Abdullah berkata, penubuhan Assabiqun pada asasnya bertujuan menghimpunkan orang lama dalam PAS yang tidak lagi memegang jawatan tetapi masih aktif dan mampu menyumbang kepada perjuangan parti.

Katanya, Assabiqun tidak seharusnya dilihat seperti Dewan Pemuda atau Muslimat dari sudut kecergasan dan bentuk aktiviti kerana kelompok veteran mempunyai kekuatan serta peranan tersendiri.

“Parti tidak mengharapkan Assabiqun menjadi seperti Dewan Pemuda atau Muslimat kerana tahap kecergasan itu berbeza.

“Kita perlu sentiasa ingat tujuan utama penubuhannya supaya orang lama yang tidak lagi memegang jawatan tidak berasa tersisih daripada perjalanan parti.

“Assabiqun perlu menjadi model dan pembimbing kerana generasi baharu mungkin melihat kejayaan hari ini tanpa melalui pengalaman zaman kita kalah dan melalui zaman yang sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Dewan Assabiqun PAS di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut,beliau berkata perjalanan politik sentiasa berubah dan generasi terdahulu perlu memahami suasana semasa supaya dapat memainkan peranan sebagai pembimbing yang baik.

Katanya, PAS kini berada dalam fasa yang berbeza selepas melalui tempoh panjang perjuangan, termasuk ketika sokongan terhadap parti tidak menunjukkan perkembangan seperti yang diharapkan.

“Dahulu orang tidak begitu optimis terhadap kita. Ibarat pungguk rindukan bulan, kejayaan itu seolah-olah tidak tercapai.

“Tetapi hari ini kita berada dalam fasa yang berbeza. PAS mempunyai 43 Ahli Parlimen dan sudah menjadi sebahagian daripada pentadbiran di beberapa negeri, malah perkembangan politik di Negeri Sembilan dan kemungkinan di Melaka turut menjadi perhatian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kejayaan yang dikecapi hari ini perlu dijaga kerana generasi yang hanya mengenali kemenangan mungkin tidak memahami nilai sebenar sebuah perjuangan.

“Orang yang terus menang tidak akan begitu menghargai kemenangan. Kita bimbang kemenangan ini tidak dijaga dengan baik dan akhirnya disia-siakan.

“Jadi, Assabiqun diharapkan menjadi mentor supaya kemenangan ini dapat dijaga dan tidak disia-siakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kuasa politik turut menegaskan bukan matlamat akhir perjuangan PAS, sebaliknya menjadi alat untuk melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar kepada Islam dan masyarakat.

“Kuasa dalam perjuangan bukan matlamat tetapi alat untuk menunaikan tanggungjawab besar, iaitu Islam.

“Sebab itu tanggungjawab kita besar untuk menjadi penjaga kepada perjuangan. Walaupun dari sudut fizikal mungkin sudah tidak berupaya seperti dahulu, kita masih boleh menjadi model dari sudut mental, pengalaman dan pemikiran,” katanya.

Beliau berkata, walaupun PAS kini berada pada tahap kemuncak pencapaian politik, golongan veteran masih mempunyai peranan penting untuk memastikan kesinambungan perjuangan serta membimbing generasi baharu.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan golongan veteran supaya tidak terperangkap dengan pengalaman masa lalu semata-mata, sebaliknya memahami perubahan keadaan dan realiti politik semasa.

“Situasi sekarang tidak sama dengan dahulu. Kita perlu memahami situasi sekarang supaya kita boleh menjadi pembimbing yang baik,” katanya.