Hampir 100,000 Pengundi Baharu Terengganu Dalam Tempoh Empat Tahun

3

SETIU – Hampir 100,000 pengundi baharu dianggarkan akan direkodkan di Terengganu dalam tempoh empat tahun, berdasarkan pertambahan sekitar 25,000 hingga 26,000 pengundi baharu setiap tahun.

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, anggaran berkenaan dibuat berdasarkan jumlah kelahiran dan rekod pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri itu.

Menurutnya, jumlah calon SPM di Terengganu kini dianggarkan sekitar 25,000 hingga 26,000 orang setahun, berbanding kira-kira 24,000 sebelum ini.

“Kalau pertambahan dalam masa empat tahun, empat kali 25,000, hampir 100,000. Itu perkiraan mudah, tetapi angka sebenar boleh disemak berdasarkan data kelahiran dan rekod berkaitan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS kawasan Setiu, di Dewan Sungai Tarom, Setiu, pada jumaat.

Ariffin menambah, perubahan sistem pendaftaran pengundi turut memudahkan golongan yang mencapai umur kelayakan untuk didaftarkan sebagai pengundi secara automatik.

“Dulu orang yang hendak daftar mengundi, dia kena daftar. Sekarang ini dia automatik,” ujarnya.

Sementara itu, PAS Terengganu yakin mampu mempertahankan kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu sekiranya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan dalam masa terdekat.

“Kita akan pertahankan kesemua 32 DUN dan juga lapan Parlimen. Kita punya hak maksimum dan kita akan pertahankan semua DUN yang kita menangi,” katanya.

Menurut beliau, persiapan jentera pilihan raya PAS Terengganu juga telah berada pada tahap sepenuhnya dengan gerakan dilakukan di seluruh negeri.

“Kita dah bersedia sepenuhnya. Kalau berlaku pilihan raya bila-bila masa, kita dah menggerakkan seluruh jentera daripada Besut ke Kemaman.

“Secara all out untuk berdepan pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam masa yang sama, PAS Terengganu bersedia menggerakkan jentera pilihan raya ke Melaka bagi membantu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas pembahagian kerusi antara parti dimuktamadkan.

Tambahnya, pihaknya sudah melakukan persiapan awal termasuk turun ke Melaka bagi melihat perkembangan semasa.

“Melaka, sebagaimana yang disebut oleh Naib Presiden tadi, kita membuat persiapan dari segi jentera. Kami dah pergi minggu ini dan minggu lepas,” ujarnya.

Menurutnya, pengagihan jentera dari Terengganu akan dibuat selepas jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS dimuktamadkan.

“Bila pengesahan pembahagian kerusi, berapa DUN yang kita bertanding, kita akan hantar jentera kita berasaskan kepada pembahagian kerusi nanti.

“PAS Pusat ataupun Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat akan mengagihkan berasaskan negeri-negeri, mengikut jumlah kerusi yang ditangani,” katanya.