Amerika Syarikat Gagal Capai Objektif Serangan Terhadap Iran

22

KUALA TERENGGANU — Amerika Syarikat (AS) didakwa gagal mencapai objektifnya dalam serangan terhadap Iran, termasuk dari sudut politik, diplomasi, ekonomi dan ketenteraan.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, YB Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkembangan itu turut memperlihatkan AS sebagai pihak yang melanggar undang-undang antarabangsa meskipun negara berkenaan merupakan kuasa besar dunia.

“Pandangan saya, ia menunjukkan kegagalan Amerika Syarikat. Kegagalan dari sudut politik, diplomasi, ekonomi dan ketenteraan,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri berkata demikian selepas program perasmian penyerahan Bantuan Kepada Pengurusan Kepada Pengurusan Jawatankuasa Masjid Negeri Terengganu Dan Majlis Pelancaran Program Kapsul Indahnya Hidup Bersyariat di Damai Lounge, U2, Dewan Undangan Negeri Terengganu, semalam

Menurut beliau, AS sebelum ini meletakkan beberapa objektif menerusi serangan terhadap Iran, namun kesemua objektif berkenaan didakwa tidak tercapai.

Tambahnya, tindakan menyerang Iran yang merupakan sebuah negara merdeka turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa, selain mencetuskan penentangan dalam kalangan rakyat AS sendiri terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump.

Katanya, serangan itu juga mengakibatkan kematian pemimpin serta orang awam yang tidak berdosa, termasuk kanak-kanak sekolah perempuan.

“Walaupun Amerika kuasa besar dunia, tetapi Amerika tidak boleh lari daripada undang-undang. Ini disaksikan oleh masyarakat antarabangsa dan rakyat Amerika sendiri yang bangkit menentang pentadbiran Donald Trump,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru negara-negara Islam supaya memperkukuh kesatuan dan membina kekuatan sendiri agar tidak bergantung kepada kuasa asing dalam menghadapi perkembangan geopolitik dunia.

“Apa yang penting ialah kita umat Islam, dalam konteks ini negara-negara Islam mestilah bersatu padu supaya kita boleh membina kekuatan kita sendiri tanpa bergantung kepada pihak-pihak lain,” katanya.