PAS Sasar Tambah Kerusi Pada PRN Negeri Sembilan

53

KUALA TERENGGANU –PAS akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang dengan sasaran menambah jumlah kerusi yang dimenangi parti itu berdasarkan potensi kemenangan di beberapa kawasan majoriti tipis.

Presiden PAS, Dato Sri Tan Sri, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, parti itu optimis mampu meningkatkan pencapaian pada pilihan raya berkenaan memandangkan terdapat beberapa kerusi yang dimenangi lawan dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi.

“Insya-Allah kita tunggu dan lihat. Kita akan bertanding di Negeri Sembilan dan kita sudah menang tiga kerusi di negeri itu.

“Kita berharap dapat menambah lagi kerusi kerana terdapat banyak kawasan yang dimenangi dengan majoriti tipis, kurang daripada 1,000 undi,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui media selepas Kuliah Dhuha Mingguan di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Pada PRN Negeri Sembilan yang lalu, PAS menerusi Perikatan Nasional berjaya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperkukuhkan kedudukan parti itu di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata PAS masih meneliti pelbagai faktor sebelum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya tersebut.

Menurutnya, pimpinan parti akan terlebih dahulu mendengar taklimat daripada kepimpinan PAS negeri sebelum keputusan berkaitan strategi pilihan raya dibuat.

“Satu persatu kita dengar taklimat dulu. Lepas itu akan dibuat keputusan bagaimana kita hendak bertanding.

“Pada dasarnya kita akan bertanding, tetapi ia akan dilihat daripada sudut pengaruh parti, peluang kemenangan, gerak kerja kempen serta calon-calon yang akan diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata PAS tidak berdepan masalah untuk menampilkan calon kerana mempunyai ramai pemimpin dan tokoh yang berwibawa untuk dipertaruhkan pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, mengulas mengenai pendekatan politik Muafakat Nasional, Abdul Hadi menegaskan PAS terus berpegang kepada prinsip penyatuan Melayu-Islam sebagai teras kepimpinan negara tanpa mengabaikan kepentingan masyarakat bukan Islam dalam negara majmuk.

“Itu satu pandangan. Memang konsep kita yang pertama ialah menyatukan orang Melayu Islam. Melayu Islam mesti memimpin negara.

“Yang kedua, wajib mengambil kira masyarakat majmuk bukan Islam. Mereka tidak boleh ditinggalkan atau dipinggirkan,” tambah beliau.

Beliau berkata usaha memperkukuhkan Muafakat Nasional turut mengambil kira penyertaan parti-parti Melayu-Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan tokoh-tokoh masyarakat yang berpengaruh.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi memaklumkan Dewan Ulama PAS telah membuat keputusan berhubung beberapa perkara melibatkan hala tuju politik parti dan kini menunggu pengumuman rasmi daripada kepimpinan pusat.