112 Remaja Sertai ‘Camp Survivor Pro’ Pemuda PAS Dungun

29

DUNGUN – Seramai 112 remaja dari seluruh Dungun telah menyertai Program ‘Camp Survivor Pro’ yang dianjurkan Pemuda PAS kawasan itu sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.

Pengarah Program, Amir Syakirin Maznan berkata program tersebut bukan sekadar perkhemahan biasa, tetapi satu platform untuk melahirkan generasi muda yang mempunyai kekuatan fizikal, mental, spiritual dan kepimpinan.

“Kita mahu membentuk remaja yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga mempunyai jati diri Islam dan semangat berkhidmat kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Program yang dirasmikan oleh ketuanya Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Mohd Fauzi telah berlangsung selama dua hari satu malam bermula pada 2 dan 3 Jun yang diadakan di Camp Site, Bukit Bauk di sini.

Ia juga adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Amal , Pemuda DUN-DUN dalam kawasan Dungun serta sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakannya.

Menurut beliau yang juga Jabatan Pembangunan Remaja(JPR), Pemuda Dungun, penyertaan yang diterima melebihi sasaran asal iaitu 80 peserta.

“Ini membuktikan sambutan yang sangat menggalakkan daripada ibu bapa dan masyarakat terhadap program pembangunan remaja yang berteraskan pendidikan, kepimpinan dan pembinaan sahsiah,” ujarnya lagi.

Katanya, sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berbentuk pembangunan diri, latihan kepimpinan, aktiviti berkumpulan, cabaran ketahanan fizikal, pengisian kerohanian serta simulasi yang bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi, kerjasama dan penyelesaian masalah.

“Sebagai kesinambungan program, pihak penganjur turut menubuhkan Rabitah Survivor Pro, sebuah platform susulan yang akan menghubungkan para peserta melalui aktiviti pembangunan diri, usrah, khidmat masyarakat, program kepimpinan dan aktiviti kemasyarakatan secara berterusan.

“Diharapkan ia dapat menjadi medium untuk membangunkan potensi remaja serta melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang beriman, berilmu, berakhlak dan berjiwa masyarakat,” ujarnya.