Perjuangan Perlu Berteraskan Keikhlasan, Bukan Emosi

24

KUALA TERENGGANU – Perjuangan yang dibina atas dasar emosi semata-mata tidak akan bertahan lama, sebaliknya perlu dipandu dengan keikhlasan dan istiqamah agar kekal konsisten dalam apa jua keadaan.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Mohd Nor Hamzah menegaskan bahawa perasaan manusia bersifat tidak tetap dan mudah berubah.

Justeru itu katanya, menjadikan emosi sebagai asas perjuangan hanya akan menyebabkan seseorang itu mudah goyah dan hilang arah.

“Jangan ikut perasaan. Perasaan itu berubah-ubah hari ini membara, esok boleh pudar tanpa arah.

“Jika perjuangan dibina atas emosi semata-mata, ia mudah rapuh, mudah goyah, dan akhirnya hilang di tengah jalan,” jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.

Menurutnya, keikhlasan merupakan elemen terpenting dalam memastikan kelangsungan perjuangan kerana ia tidak bergantung kepada pujian mahupun penghargaan manusia.

“Ia bergerak dalam diam, tetapi kesannya besar dan berpanjangan.

“Orang yang berjuang dengan perasaan, akan cepat penat bila tidak dihargai. Tetapi orang yang berjuang dengan ikhlas, akan terus melangkah walau tanpa tepukan. Mereka tahu, yang dinilai bukan manusia tetapi Tuhan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa ukuran sebenar dalam perjuangan bukanlah pada siapa yang paling lantang atau dikenali, tetapi siapa yang paling istiqamah dan tulus dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Jadi, tenangkan jiwa. Betulkan niat. Jangan biar perasaan menguasai arah biarlah keikhlasan menjadi kompas dalam setiap langkah perjuangan,”
ujarnya.