Kongsi Rezeki Juadah Berbuka, Sokong Peniaga Kecil

201

KUALA TERENGGANU – Program “Kongsi Rezeki Juadah Berbuka Puasa” disemarakkan pada bulan Ramadan dengan mengagihkan kuih-muih percuma kepada orang ramai di hadapan Sekolah Kebangsaan Kemasik, petang semalam.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, berkata program ini bertujuan menyantuni masyarakat setempat dan menyokong peniaga kecil.

“Sebagai usaha menyantuni masyarakat setempat, beliau mengambil inisiatif memborong semua juadah di gerai-gerai berhampiran untuk diagihkan kepada orang ramai yang lalu-lalang.

“Usaha memborong semua jualan ini bukan sekadar untuk berkongsi juadah berbuka, tetapi juga untuk menyokong peniaga kecil supaya mereka dapat pulang awal dan berbuka bersama keluarga tersayang,” jelasnya melalui laman sosial.

Justeru itu, beliau berharap usaha kecil ini mendapat keberkatan dan memberi kegembiraan kepada warga Kemasik yang sedang membuat persiapan berbuka puasa.

Katanya, program ini turut melibatkan Pemuda dan Ameerah DUN Kemasik, menekankan semangat kebajikan dan kerjasama komuniti untuk menyemai kegembiraan Ramadan.