Terengganu Sasar Pertahan ‘Kemenangan Total” Pada PRU16

175

SETIU – PAS Terengganu menyasarkan untuk mempertahankan kemenangan sapu bersih 40 kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Haji Husain Awang berkata, insya-Allah dengan sasaran itu, sebenarnya meletakkan cabaran yang lebih besar dan berat kepada parti sekali gus menuntut persediaan rapi serta komitmen tinggi daripada semua peringkat kepimpinan dan jentera.

“Jadi, kita duduk sini selama 40 lebih daripada 48 jam, bincang perkara-perkara berkaitan dengan agenda bertindak dalam berhadapan pilihan raya ke-16,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Permukiman Hala Tuju PAS Terengganu di sini, hari ini.

Katanya, PAS Terengganu turut membincangkan rangka manifesto atau aku janji yang akan ditawarkan kepada rakyat dengan mengambil kira keupayaan tenaga dan kewangan serta keperluan semasa rakyat.

Mengulas pencapaian lalu, Ustaz Husain berkata, manifesto PAS pada PRU14 telah dilaksanakan hampir sepenuhnya, manakala tawaran pada PRU15 pula diteruskan dengan beberapa penambahan sehingga mendapat kepercayaan para pengundi.

“Sebagaimana yang kita telah lalui, pada pilihan raya yang ke-14, kita mengemukakan satu manifesto yang dipercayai oleh rakyat 100 peratus dan kita juga berjaya untuk melaksanakannya hampir 100 peratus,

“Jadi oleh kerana itu, kita harap apa yang kita bincang pada hari ini sebagai asas utama dan akan dimurnikan ataupun dikemaskinikan lagi selepas daripada ini insya-Allah,” ujarnya.

Tambah mantan Ahli Dewan Negara itu, PAS berhasrat membina kekuatan dan imej baharu parti sebagai alternatif utama bukan sahaja kepada Pakatan Harapan (PH), malah Barisan Nasional (BN) di peringkat nasional.

Justeru itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti termasuk pimpinan kawasan, sayap parti dan ahli jawatankuasa yang menunjukkan komitmen tinggi.

“Saya mengajak kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu Wata’ala supaya kita diberikan kekuatan dan juga keupayaan untuk memikul tuas dan tanggungjawab,” tambah beliau lagi.