KUALA TERENGGANU – Maahad Darul Quran Rusila (MDQ) dan Kolej Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) terus memperkukuh kerjasama dalam agenda pendidikan Islam bagi memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak gerakan Islam dapat dipertahankan dalam menghadapi cabaran semasa.
Pensyarah KUDQI, Ustaz Zakaria Ismail berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan antara pentadbiran kedua-dua institusi yang berlangsung semalam, menjelang sambutan Maulidur Rasul SAW.
Katanya, pertemuan tersebut turut disulami semangat persaudaraan dengan matlamat memperkukuh rantaian institusi pendidikan yang dikelolakan gerakan Islam tempatan.
“MDQ dan KUDQI adalah kesinambungan organik pendidikan menengah dan pendidikan tinggi anak-anak PASTI serta murid-murid ibtida’iyyah Dar-Dar.
“Itulah hasratnya dan semoga kita tidak lupa,” katanya menerusi kenyataan di facebooknya, hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut Mudir MDQ, Ustaz Mohd Azri Abdul Aziz bersama Timbalan Mudir, Ustaz Muhammad Akmal Hamzah dan Ustaz Haji Mohd Hisham Awang.
Manakala KUDQI diwakili Pengarahnya, Ustaz Wan Abdullah dan juga Ustaz Zakaria sendiri.
Menurut Ustaz Zakaria, institusi pendidikan Islam swasta kini berdepan cabaran persaingan dengan institusi pendidikan kerajaan dan swasta yang mempunyai sumber kewangan, pembangunan serta sistem pentadbiran yang lebih besar.
Beliau berkata, kelangsungan institusi pendidikan yang mempunyai acuan tersendiri amat penting bagi memastikan hasrat melahirkan ulama, ilmuwan dan cendekiawan yang mampu membimbing masyarakat serta membawa agenda islah terus diperkasakan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan MDQ sebagai antara institusi yang masih mampu bertahan dan terus berkembang dalam pendidikan menengah meskipun berdepan pelbagai cabaran dan persaingan semasa.
Sementara itu, KUDQI pula dibangunkan sebagai kesinambungan hasrat pimpinan terdahulu untuk memperkukuh pendidikan tinggi Islam dan bersaing dengan institusi pendidikan tinggi lain.
“Doakan KUDQI terus kuat menggalas hasrat besar ini dengan pasukan ALP dan pentadbiran yang kuat serta berjiwa pembina empayar, bukan sekadar pewaris empayar,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyeru agar agenda memperkukuh institusi pendidikan Islam terus diberi perhatian demi memastikan kesinambungan perjuangan pendidikan dan pembangunan generasi akan datang.





























