Bersedia Hadapi PRU16, Majoriti Besar Bukan Jaminan

6

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pada bila-bila masa dengan seluruh jentera parti diarahkan memperkemas gerak kerja kerana majoriti besar PRU lalu bukan jaminan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, persiapan pilihan raya kini sedang dipergiatkan menerusi pelancaran gerak kerja di peringkat kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, PAS Terengganu telah menggerakkan usaha tersebut di seluruh negeri dan menyasarkan kesemua 32 DUN dapat menyelesaikan pelancaran serta penyelarasan gerak kerja pilihan raya masing-masing.

“Kalau kita kata tidak buat pelancaran pilihan raya ini, pilihan raya sudah dekat. Kita bersedia pada bila-bila masa daripada sekarang untuk berdepan dengan siapa sahaja yang akan kita lawan dalam pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Berucap dalam program Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS kawasan Setiu, di Dewan Sungai Tarom, pada Jumaat, beliau menekankan, perubahan politik boleh berlaku dalam tempoh singkat.

“Kalau kita menang majoriti 6,000, 5,000, 4,000 atau 2,000, sebenarnya dalam suasana politik sekarang ini bukanlah angka yang besar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera PAS semua peringkat bergerak dan menegaskan, Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri akan terus memantau dan membantu.

“Kita bukan hanya mahu mempertahankan kemenangan, tetapi insya-Allah kita mahu mencapai kemenangan yang lebih besar daripada apa yang ada sekarang,

“Yang penting, selain bekerja kuat, kita bertawakal kepada Allah. Insya-Allah,” katanya.

Oleh itu beliau memaklumkan, pelancaran dan ijtimak pilihan raya PAS Terengganu dijangka berlangsung pada 18 dan 19 September di Rusila sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi PRU16.