KUALA TERENGGANU – Sumbangan sebanyak RM20,000 kepada pihak pengurusan PASTI Kawasan Kemaman adalah untuk menambah baik kemudahan pejabat baharu pusat pendididkan pra-sekolah tersebut.
Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Dato’ Haji Hanafiah Mat berkata, sumbangan tersebut digunakan khusus bagi penyediaan partition dan karpet di pejabat pentadbiran yang kini beroperasi di Bangunan Kedai Taman IG Pesona, Kampung Injin Gergaji.
“Semoga kemudahan ini dapat memberikan keselesaan dan kelancaran dalam urusan pentadbiran serta memperkukuh lagi peranan PASTI di seluruh daerah Kemaman,” jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.
Menurutnya, kemudahan yang lebih selesa ini diharap dapat melancarkan urusan pentadbiran sekali gus membolehkan PASTI memberi tumpuan kepada misi mendidik anak-anak dengan ilmu duniawi dan ukhrawi.
“Moga usaha mendidik anak-anak dengan ilmu dunia dan akhirat terus diberkati dan dipermudahkan, insya-Allah,” ujar Hanafiah.
Sementara itu, Pengerusi PASTI Kawasan Kemaman Mohamad Hafiz Nasiran berkata, sumbangan berbentuk partition dan karpet itu disampaikan oleh YB Dato’ sebagai tanda keprihatinan terhadap keperluan pentadbiran PASTI.
“Ini bukan kali pertama. YB Dato’ sentiasa memberi sokongan dan bantuan apabila kami memerlukan samada untuk pengurusan, program atau aktiviti yang PASTI adakan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sumbangan tersebut memudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan PASTI Kemaman agar lebih tersusun dan lancar demi manfaat bersama.
“Kami di PASTI Kemaman sangat berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh beliau kepada kami,” tambah beliau lagi.