MUNIF 2025: Suara Solidariti Asia Tenggara Untuk Palestin

425

KUALA TERENGGANU – Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) akan menjadi platform penting umat Islam Asia Tenggara untuk memperkukuh solidariti dalam memperjuangkan Palestin.

Forum berkenaan dijadual berlangsung pada 14 September ini di BDB Hotel & Suites, Bandar Darulaman, Jitra, Kedah, dengan penyertaan pemimpin gerakan Islam, sarjana, aktivis kemanusiaan serta NGO antarabangsa.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, forum tersebut akan memberi tumpuan khusus kepada isu Gaza, Masjid Al-Aqsa dan kedudukan Baitulmaqdis.

“MUNIF 2025 adalah simbol kebangkitan solidariti umat Islam untuk Al-Aqsa, Gaza dan Palestin,” katanya dalam satu Sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sudah tiba masanya umat Islam bergerak secara tersusun dengan tindakan yang lebih praktikal.

“Fokus kita jelas, iaitu menyelamatkan Gaza daripada kezaliman penjajah Zionis, membebaskan Masjid Al-Aqsa serta mempertahankan kedudukan Baitulmaqdis.”

Menurutnya, MUNIF 2025 akan merangka agenda kolektif dalam aspek kemanusiaan, diplomasi, ekonomi dan media bagi memastikan suara umat Islam lebih didengar.

“Usaha ini termasuk mempergiatkan bantuan kemanusiaan yang bersepadu, mengatur diplomasi antarabangsa yang lebih berkesan, memperkukuh gerakan boikot serta menggerakkan dana ummah. Kita juga mesti melawan propaganda Zionis yang selama ini cuba menutup kebenaran,” katanya.

MUNIF 2025 dianjurkan oleh Pertubuhan Pencinta Baitulmaqdis dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis, selain sokongan beberapa NGO termasuk Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia, Yayasan Isra’, Cakna Palestin, Yayasan Permata Ummah dan I-Aware.