‘Ladies Fun Walk 2.0’ : Galak Gaya Hidup Sihat Wanita Secara Patuh Syariah

441

KUALA TERENGGANU – Program ‘Ladies Fun Walk 2.0’ terbuka kepada 2,000 peserta wanita termasuk dalam kalangan bukan Muslim, sekali gus membuktikan sambutan masyarakat setempat yang amat menggalakkan terhadap aktiviti kesihatan patuh syariah.

Ketua Ameerah Kemaman, Siti Nur Radhiah Alias berkata, tujuan utama penganjuran program tersebut adalah untuk menggalakkan wanita melibatkan diri dalam aktiviti fizikal secara berkala sebagai langkah menjaga kesihatan dan kecerdasan.

“Melalui aktiviti ‘brisk walk’, kita dapat memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan wanita selain menyampaikan mesej penting iaitu mewujudkan budaya hidup berteraskan kesukanan patuh syariah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, program yang akan diadakan pada 11 Oktober depan itu, turut dirangka untuk menarik minat wanita pelbagai peringkat umur dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk cabutan bertuah yang disediakan.

Menurutnya lagi, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja membuka ruang kepada wanita mengutamakan kesihatan.

“Malah dapat memperluas jaringan penglibatan mereka dalam sebarang aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak penganjur.

“InsyaAllah, program ini akan dijadikan acara tahunan dalam kalendar aktiviti wanita di Kemaman,” tambahnya.