Ziarah Naib Ketua KUIS, Bukti Ulamak Bersatu

5494

Oleh : MNA

KUALA TERENGGANU – Ziarah muhibah oleh tokoh pendakwah yang terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad, Lc. M.A mengunjungi dua ulamak tersohor negeri Terengganu ada bukti bahawa ulama bersatu dalam usaha menyebarkan dakwah.

Ustaz Abdul Somad yang dalam program jelajah kuliah di sekitar Terengganu, mengambil peluang bertemu Naib Ketua Ulamak Islam Sedunia (KUIS), Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus.

Perjumpaan selama kira-kira 45 minit pada pagi semalam, berlangsung di kediaman pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus di Kuala Terengganu.

Encik Zulkifli Wahab 55, yang menjadi saksi pertemuan bersejarah itu berharap Islam akan menjadi lebih kuat dengan adanya penyatuan pemikiran seperti ini, lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh ulamak, golongan yang paling memahami Islam.

Katanya, pertemuan itu dianggap sebagai satu bentuk kesatuan diantara ulamak-ulamak Islam yang walaupun dipisahkan oleh geografi, namun ada ikatan di dalam lubuk hati sesama mereka, iaitu ikatan cintakan Islam.

“Apabila ada pertemuan antara ilmuan Islam, maka kita mengharapkan Islam menjadi lebih kuat di atas simbolik pertemuan itu.

“Bagi saya, ia bukan sekadar perjumpaan biasa, malah lebih dari itu,

“Kita mengharapkan akan ada lebih banyak pertemuan antara keduanya, bagi membincangkan lagi kebaikan-kebaikan yang bakal diperolehi oleh Islam,” ujar beliau.

Beliau yang juga pembantu peribadi Ustaz Azhar Idrus, turut berpeluang mendengar beberapa isi kandungan perbincangan yang diperkatakan oleh ketiga-tiga tokoh tersebut.

Menurutnya, ianya berkisar tentang sejarah perkembangan Islam di nusantara yang mana diantara Malaysia dan Indonesia khususnya Terengganu dan Riau, ada banyak persamaan dan sejarahnya yang tersendiri diakhir abad 18.

“Dari segi adat resam, cara hidup dan pengamalan Islam, Terengganu didapati mempunyai banyak persamaan dengan beberapa tempat di Indonesia,

“Istilah ‘nusantara’ itu sendiri berkaitan budaya dan linguistik orang melayu merangkumi kepulauan Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina,” ujarnya.

Manakala Encik Zainal Ariffin Aziz 40, salah seorang penganjur yang turut hadir dalam pertemuan itu berpendapat pertemuan ini adalah bagaikan satu gelombang kebangkitan ummah.

“Saya yakin ini adalah petunjuk kepada gelombang kebangkitan yang sedang melanda seluruh umat Islam.

“Ia dibuktikan dengan kehadiran jemaah yang melimpah ruah di setiap lokasi program dan paling menggembirakan ialah majoriti yang hadir ialah golongan muda,

“Mereka semakin terbuka untuk menerima ilmu agama dan mereka sangat menghormati ulamak,” tegas beliau.

Beliau mengambil kesempatan memohon maaf atas segala kekurangan yang terjadi sepanjang kehadiran Ustaz Abdul Somad di Terengganu dan akan berusaha membaikinya dimasa hadapan.

Tambah beliau lagi, penganjur sedang merancang beberapa lagi program besar yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Ustaz Somad gagal ditemubual kerana beliau terpaksa bergegas ke lapangan terbang bagi mendapatkan penerbangan beliau ke Kuala Lumpur, meneruskan agenda beliau di sana.