YDP DUN Tegur Wakil Pembangkang

7149

KUALA TERENGGANU – Wakil rakyat pembangkang Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, telah ditegur oleh Yang DiPertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Haji Yahaya Ali kerana mempersoalkan tindakan menolak soalan yang dikemukakan beliau.

Tegas YDP yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, keputusan DUN tidak membenarkan soalan Bazlan adalah muktamad berdasarkan peraturan DUN.

“kita ada peraturan dewan (DUN) yang jelas dan tindakan menolak soalan yang dikemukakan adalah beradasrkan peraturan tersebut,” jelas Haji Yahaya ketika mempengerusikan Mesyuarat Kedua DUN Ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.

Sebelum itu Bazlan ketika berucap membahaskan pembentangan Bajet 2019 berkata, empat soalan beliau tidak diterima pihak DUN.

Haji Yahaya Ali, Yang DiPertua DUN Terengganu

Antaranya beliau bertanya berapa ramai rakyat Terengganu yang belum memiliki rumah dan bagaimana janji Manifesto PAS yang mahu memberi tanah kepada rakyat.

Wakil Paka, Ustaz Satiful Bahri Mamat telah mencelah dan berkata, soalan tersebut wajar ditolak kerana soal memiliki rumah adalah satu perkara yang tidak sama dengan persoalan janii PAS mahu memberikan tanah kepada rakyat.

“Yang berhormat (Batu Rakit) tanya bilangan orang nak rumah, nak suruh jawab bilangan lot tanah, munasabah tolak pun,” ujar Ustaz Satiful.

Sehubungan itu, pada sidang hari Isnin, Ustaz Satiful yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu berkata, sudah tidak ada pembangkang dalam DUN Terengganu.

Ustaz Satiful Bahri Mamat, ADUN Paka

Ia adalah kerana kata Ustaz Satiful, semua wakil-wakil Umno dan Barisan Nasional telah menyokong Bajet 2019, yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Ahad 25 November.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri itu berkata demikian ketika mencelah ucapan perbahasan oleh wakil Telemong Dato’ Rozi Mamat.

Sehubungan itu, sidang DUN Bajet 2019 yang akan tamat pada Khamis 29 November, disifatkan sebagai ‘hambar’ kerana wakil pembangkang gagal memainkan peranannya.

Ia diakui oleh wakil pembangkang yang mendedahkan, mereka telah mengadakan mesyuarat dan bersetuju untuk menyokong Bajet yang memperuntukkan serjumlah RM2.015 bilion, jumlah lebih besar berbanding RM1.996 bilion bajet kerajaan BN tahun lepas.