KUALA NERUS – Wanita terbukti mampu memimpin dengan berkesan sekiranya berpegang kepada ilmu, keadilan dan prinsip agama tanpa mengabaikan jati diri.
Walikota Banda Aceh,Illiza Sa’aduddin Djamal berkata, sejarah Aceh sendiri memperlihatkan peranan besar wanita dalam kepimpinan dan perjuangan, sekali gus menepis tanggapan bahawa kepimpinan hanya milik lelaki.
Katanya, tokoh seperti Laksamana Malahayati yang mengetuai pasukan Inong Balee dan pejuang kemerdekaan seperti Cut Nyak Dhien serta Cut Nyak Mutia menjadi bukti keupayaan wanita dalam mempertahankan agama dan tanah air.
“Aceh juga pernah dipimpin oleh empat Sultanah selama hampir 60 tahun, antaranya Sultanah Safiyatuddin yang menitikberatkan pendidikan dan pemerintahan berteraskan syariat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam slot Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026, perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, PADA jUMAAT.
Tambahnya, kekuatan wanita lahir daripada gabungan iman, keberanian dan rasa tanggungjawab, selain menjadikan Islam sebagai asas utama dalam kepimpinan.
Tambahnya, wanita tidak perlu meniru gaya lelaki untuk berjaya, sebaliknya perlu memanfaatkan sifat semula jadi seperti kelembutan sebagai satu kekuatan dalam memimpin.
“Setiap individu adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan. Keseimbangan antara kerjaya dan keluarga boleh dicapai melalui pengurusan masa yang baik, sokongan keluarga serta niat yang betul,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan melalui platform komuniti seperti program Musrena di Aceh yang memberi ruang kepada wanita menyuarakan pandangan.
Beliau yang pertama kali berkunjung ke Terengganu turut meluahkan rasa kagum terhadap suasana negeri ini yang disifatkan memberi inspirasi dalam memperkasa peranan wanita dalam masyarakat.





























