Pesta Air Bukit Bintang Bukan Isu Kecil

87
Ustaz Abdul Hadi Muhammad

SETIU – Penganjuran “festival air” di Bukit Bintang disifatkan sebagai isu besar yang tidak boleh dipandang ringan, sekali gus menerima bantahan tegas kerana didakwa bercanggah dengan nilai agama dan sensitiviti masyarakat Islam.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Ustaz Abdul Hadi Muhammad berkata, acara tersebut bukan isu kecil, sebaliknya menyentuh sensitiviti besar masyarakat Islam di negara ini.

Menurut beliau, dari sudut hukum syarak, penganjuran pesta yang melibatkan percampuran bebas lelaki dan perempuan, pendedahan aurat serta hiburan melampau jelas bercanggah dengan prinsip Islam.

“Islam bukan sekadar mengatur ibadah, tetapi turut menetapkan batas dalam menjaga maruah, adab dan pergaulan. Aktiviti seperti ini tidak boleh dipandang ringan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa acara berkenaan tidak mencerminkan budaya masyarakat Melayu Islam yang berteraskan nilai kesopanan dan kesederhanaan.

Dalam masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kesan sosial khususnya kepada golongan muda yang berpotensi terpengaruh dengan gaya hidup tidak sihat jika penganjuran sebegini diteruskan.

Mengulas lanjut, beliau membandingkan pendekatan di Terengganu yang lebih tegas dalam mengawal program hiburan demi menjaga akhlak masyarakat dan selari dengan prinsip maqasid syariah.

“Bantahan ini bukan menolak hiburan secara total, tetapi demi memastikan setiap penganjuran tidak melanggar batas agama serta memelihara kesejahteraan sosial,” ujarnya.

Isu ini turut menjadi perhatian apabila ada pihak melihatnya dalam kerangka kepelbagaian budaya dan tarikan pelancongan, namun bagi sebahagian masyarakat Islam, sensitiviti agama perlu diberi keutamaan dalam sebarang penganjuran acara.