KUALA NERUS – Peranan wanita dalam kepimpinan dan dakwah perlu diperkasakan dengan kembali berteraskan sunnah dan berpandukan sejarah Islam yang membuktikan penglibatan signifikan golongan itu sejak awal perkembangan agama.
Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, al-Quran dan sunnah sarat dengan kisah wanita yang memainkan peranan penting dalam dakwah dan pembangunan ummah, termasuk dalam kalangan isteri, ibu serta sahabat Nabi.
Menurut beliau, wanita bukan sekadar pelengkap, malah menjadi antara asbab penurunan ayat al-Quran dan terlibat secara langsung dalam perjuangan Islam.
“Dalam sirah Nabi Muhammad, penglibatan wanita jelas dalam pelbagai peristiwa penting seperti hijrah, baiah dan peperangan, sekali gus menjadi asas kepada penglibatan wanita dalam dakwah dan siasah hari ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam slot Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau mencontohkan Khadijah Khuwailid sebagai wanita pendakwah terawal yang menerima dan menyebarkan Islam, manakala Sumaiyah Khayyat membuktikan keberanian wanita mempertahankan agama.
Dalam konteks semasa, katanya, wanita perlu berani tampil ke hadapan dengan memanfaatkan teknologi digital bagi memperluas dakwah dan memperkukuh kedudukan ekonomi.
“Jika dahulu Khadijah mampu mengurus perniagaan hingga ke Yaman dan Syria, hari ini wanita mempunyai lebih banyak peluang melalui perniagaan dalam talian dan konsep bekerja dari rumah,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa wanita memainkan peranan besar dalam ekonomi, termasuk sebagai penyumbang utama kepada kutipan zakat di Kelantan.
Selain itu, jelasnya, sejarah tempatan turut membuktikan keupayaan wanita sebagai pemimpin melalui tokoh seperti Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong, selain kisah Ratu Balqis yang terkenal dengan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
Menurut beliau, kepimpinan wanita bermula dari institusi keluarga, khususnya sebagai ibu dalam membentuk generasi masa depan.
Dalam masa sama, wanita juga perlu memahami politik dan isu semasa agar tidak ketinggalan dalam arus kepimpinan global.
“Apabila wanita dan lelaki saling bekerjasama, masyarakat akan lebih seimbang dan negara mampu mencapai kemakmuran,” tambah Mumtaz.





























