Wajib Daulatkan Islam Kalau Mengaku Muslim

1190

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA NERUS – Berjuang untuk mendaulatkan Islam itu adalah wajib bagi mereka yang mengaku beriman kepada Allah dan segala rukun-rukun iman yang lain.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh berkata, berjuang untuk Islam itu bermaksud kita mesti berusaha untuk mewujudkan peribadi yang berakidah dan berakhlak dengan Islam.

“Kita mesti mewujudkan masyarakat yang beriltizam dengan fikrah dan cara hidup Islam serta mewujudkan pemerintahan yang melaksanakan syariat Islam yang memikul tanggungjawab dakwah Islam yang menyuruh melakukan makruf dan mencegah kemungkaran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Sabtu, 30 September, disini.

Jelasnya, hal ini bukanlah suatu tugas yang mudah kerana ia menuntut satu pengorbanan masa, harta benda dan jiwa raga sepertimana yang telah ditunjukkan oleh nabi SAW.

“Ia juga merangkumi seluruh golongan samada orang lelaki atau perempuan, tua atau muda, kaya atau miskin, berpangkat atau biasa kerana ini adalah tanggungjawab yang terpikul diatas bahu kita oleh Allah SWT,

“Disamping itu mesti mendepani segala cabaran dan halangan sebagaimana yang telah dihadapi oleh rasulullah SAW. Baginda bersama mereka yang beriman dengan Islam telah pun sedia menghadapi apa jua halangan dan cabaran,” kata beliau.

Oleh itu katanya, bagi mereka yang mahu dan cinta kepada kebenaran serta mahu hidup dalam keadaan sejahtera didunia dan akhirat, sebenarnya tidak lepas daripada tanggungjawab ini dan mestilah terus istiqamah bekerja dan berjuang bagi memastikan Islam itu dapat ditegakkan sebagaimana yang dikehendakki oleh Allah SWT.

Justeru, bagi menjayakan ‘Hijau Menuju Kemenangan’, maka beberapa perkara mestilah dilaksanakan iaitu bertakwa kepada Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab jemaah yang telah ditetapkan,

Katanya, segala apa yang telah diputuskan oleh jemaah selagi tidak bertentangan dengan perintah Allah SWT maka menjadi kewajiban untuk kita menunaikannya disamping perlu menyakinkan masyarakat bahawa PAS mampu untuk menggantikan Umno Barisan Nasional.