ALOR SETAR – Setuju! setuju! Setuju! tiga kali laungan dari seluruh perwakilan PAS yang bangun menjawab pertanyaan Pengerusi Tetap Muktamar PAS ke- 63 berkenaan usul untuk memutuskan tahaluf dengan PKR.
Usul yang dibawakan oleh Ustaz Zulkifli Ismail dari Dewan Ulamak PAS Pusat mewakili semua 22 kawasan-kawasan dan dewan-dewan pada hari kedua muktamar itu akan diserahkan kepada Majlis Syura Ulamak (MSU) untuk diputuskan.
Ustaz Zulkifli, dalam usul itu, beliau menyebut suruhan Allah kepada manusia berkenaan perjanjian iaitu selagi mereka bersifat baik, kita juga mesti bersifat baik, tidak boleh sama sekali menggunakan akal dan nafsu semata-mata.
“Islam adalah merupakan agama yang sangat menghormati perjanjian dan kesetia kawanan.
Islam mengajarkan persoalan mematuhi perjanjian, memenuhi akan perjanjian yang dimeterai adalah merupakan perkara yang berkaitan tentang taqwallah (taqwa kepada Allah).
Oleh itu ia tidak boleh dilakukan dengan sewang-wenangnya tanpa berpandukan kepada apa yang telah tetapkan dan disyariatkan oleh Allah taala.
Apa yang telah ditetapkan oleh Allah dalam Islam berkaitan tentang persoalan perjanjian, maka hendakla kita patuhi supaya kita mencapai taqwa.
Dan apa sahaja yang bercanggah dengan Islam dalam perjanjian maka kita meninggalkannya supaya kita kekal di atas taqwa yang menjadi matlamat kita,” terang beliau pada permulaan ucapan.
Jelas beliau lagi, ada dua syarat apabila berlaku pengkhianatan seperti mengurangkan isi perjanjian dan membantu musuh Islam dan muslimin, maka kita boleh melepaskan diri dari perjanjian itu berdasarkan saranan Allah dan rasul.
PAS akan bersikap tegas dalam menyatakan kepada rakan atau musuh yang tidak mematuhi syarat yang digariskan oleh Islam kerana firman Allah menyatakan bahawa al-Quran ini petunjuk jalan yang lurus.
PAS beruntung mempunyai seorang pemimpian yang sangat faham dengan sepak terajang politik Malaysia yang ada gelombang yang bahaya yang cuba diterapkan oleh parti politik lain di Malaysia yang boleh merosakkan Malaysia.
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka, berkata lagi, kepada rakan tahaluf yang khianat dan menikam Islam, PAS perlu mengambil sikap yang berhikmah melalui pucuk kepimpinan bagi mengambil keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengannya.
Usul itu turut dibahaskan oleh wakil Pasir Mas, Ustaz Fadhli Shaari, yang menyenaraikan beberapa perbuatan yang tidak boleh diterima sebagai rakan oleh PKR sejak beberapa lama dahulu.
Jelas beliau, PAS mahu meletakkan Islam pada tempat tertinggi dan tidak mungkin PAS akan berjaya dengan adanya rakan yang tidak boleh menerima prinsip Islam PAS.
PKR menurutnya, seringkali tidak mengambil kira PAS, contohnya dalam isu Langkah Kajang, tidak menyokong PAS dalam isu pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) dan pindaan RUU355, serta bangga mencuri ahli parlimen Tumpat.
Ustaz Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan mendedahkan lagi, PAS membuat keputusan menolak beberapa permohonan ahli PKR yang mahu menyertai PAS kerana menghormati PKR sebagai rakan tahaluf.
Bagaimanapun, nasib pegawai lantikan politik di Selangor, akan diserahkan kepada kebijaksanaan MSU dan PKR juga perlu sedar bahawa di Kelantan juga ada pegawai lantikan politik kepada PKR.




























