Ustaz Awang Dagang Meninggal Dunia

2967

KEMAMAN – Mantan Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman Ustaz Awang Jusoh atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Awang Dagang’ telah kembali ke rahmatuLlah di rumah isteri keduanya di Kampung Mak Chili di sini, pada hari Jumaat 8 November.

Bekas ADUN PAS Chukai tahun 1999 – 2004 itu disahkan meninggal dunia oleh Dr Haji Alias Abdul Rahman, pada jam 11.30 malam.

Allahyarham dilaporkan meninggal kerana menghadapi kesukaran nafas disampig beberapa komplikasi yang lain.

Allahyarham Ustaz Awang Dagang, 78, juga adalah mantan Exco Wanita dan tugas-tugas Khas sewaktu PAS memerintah negeri Terengganu.

Beliau merupakan seorang yang banyak berjasa kepada rakyat Kemaman khususnya DUN Chukai dan dikenali sebagai ‘ustaz’ yang paling banyak mengendalikan kuliah.

Beliau bersara daripada memegang jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman yang pernah disandang selama 31 tahun pada tahun 2007.

Beliau pernah digelar ‘Giant Killer’ kerana berjaya mengalahkan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selaku Menteri Besar Terengganu pada pilihan raya umum ke-10 tahun 1999 lalu.

Jenazahnya akan disemadikan selepas solat jenazah yang akan diadakan di Surau Jabor Kubur, sebaik selesai solat fardhu zohor esok Sabtu, 9 November.

Berita sebelum ini;

Bekas Exco kerajaan Terengganu dirawat di HSNZ

Al-Fatehah……..