DUNGUN – Pemimpin PAS yang mencapai usia 60 tahun disaran memberi ruang kepada generasi pelapis, khususnya bekas pimpinan Dewan Pemuda, untuk meneruskan kepimpinan di peringkat cawangan dan kawasan.
Ketua As-Sabiqun Pusat, Mohamad Noor Mohamad berkata, langkah itu penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti apabila ramai pemimpin pelapis terpaksa mencari hala tuju baharu selepas melepasi had umur Dewan Pemuda.
Menurutnya, keadaan itu timbul apabila struktur kepimpinan di peringkat cawangan dan kawasan masih banyak dikuasai golongan yang sudah mencapai usia As-Sabiqun.
“Sudah sampai masanya kepimpinan di mana-mana peringkat memberi peluang kepada adik-adik kita, anak-anak kita yang merupakan tokoh kepimpinan sewaktu mereka di dalam Dewan Pemuda untuk memulakan karier mereka sebagai pimpinan di cawangan dan pimpinan di kawasan.
“Jadi apa nak jadi dengan kita yang nombor 60 ini? Masuklah As-Sabiqun. Barulah As-Sabiqun ada tenaga,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Dialog As Sabiqun di Dewan Arena Square, Dungun, semalam.
Mohamad Noor menambah, penyertaan dalam As-Sabiqun tidak seharusnya dilihat sebagai pengakhiran peranan seseorang dalam parti.
Sebaliknya golongan berkenaan masih boleh terus menyumbang mengikut penempatan dan tanggungjawab yang diberikan parti.
Dalam pada itu, beliau menambah As-Sabiqun Pusat turut mengambil langkah memperkukuh hubungan dengan Veteran Umno Malaysia sebagai sebahagian usaha menyokong muafakat PAS-BN.
Katanya, pertemuan dan mesyuarat bersama Veteran Umno Malaysia yang dipengerusikan Datuk Othman Desa sudah diadakan bagi membincangkan gagasan yang boleh dicontohi oleh As-Sabiqun di peringkat negeri dan kawasan.
“Dalam masa terdekat kita akan berbincang lagi dan kita sedang merancang untuk mengadakan satu program besar yang melibatkan As-Sabiqun dan Veteran UMNO seluruh negara,” katanya.
Mohamad Noor turut menyeru anggota As-Sabiqun supaya terus istiqamah dalam perjuangan PAS serta memanfaatkan pengalaman dan tenaga mereka untuk mengukuhkan gerakan parti.
Beliau berkata, golongan berusia 60 tahun ke atas masih mempunyai peranan besar dalam perjuangan parti selagi diberikan ruang untuk terus menyumbang.









