Terengganu, Malaysia

Gelagat 20 Bayi Comel Ceriakan Himpunan TMT 2.0

Gelagat 20 Bayi Comel Ceriakan Himpunan TMT 2.0

DUNGUN – Ada yang baru belajar merangkak, ada yang tekun mencalit warna pada kertas, manakala di sudut lain tangan ligat menyusun kuntuman bunga dan mengolah labu menjadi hidangan istimewa.

Suasana meriah itu menghimpunkan pelbagai peringkat usia dalam sebuah program yang membuka ruang untuk keluarga mengetengahkan kebolehan, daya imaginasi dan kemahiran masing-masing.

Bagi 20 bayi berusia antara empat bulan hingga setahun, tumpuan diberikan kepada perkembangan dan keadaan fizikal mereka menerusi penilaian yang turut mencuit perhatian ibu bapa.

Juri, Halmizan Saudi berkata, pemerhatian merangkumi tahap perkembangan mengikut usia, kebersihan tubuh, pakaian, kuku serta tindak balas apabila dipanggil.

“Biasanya kita tengok bayi itu aktif dan bagaimana respon apabila dipanggil. Kita juga lihat perkembangan mengikut usia seperti kemampuan merangkak atau mengesot.

“Kebersihan turut dinilai termasuk pakaian dan kuku bayi,” katanya ketika mengadili program Pertandingan Bagi Sihat Ceria pada Himpunan TMT 2.0 di sini,semalam

Selain itu, status imunisasi dan perkembangan anak ketika berada di rumah turut ditanya, manakala bayi yang sudah tumbuh gigi disaran menjalani pemeriksaan di klinik pergigian termasuk sapuan fluorida.

Gelagat 20 Bayi Comel Ceriakan Himpunan TMT 2.0

Berbeza pula gelagat kanak-kanak yang memenuhi ruang mewarna apabila 100 berusia empat hingga enam tahun, 75 berumur tujuh hingga sembilan tahun dan 50 lagi dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun mengambil bahagian.

Kertas lukisan bertukar menjadi ruang imaginasi apabila setiap anak bebas memilih rona dan menghasilkan contengan yang menarik hati juri menggunakan idea masing-masing.

Di meja masakan, labu pula menjadi bahan utama yang diberi sentuhan berbeza apabila peserta berusaha menampilkan hidangan bukan sahaja sedap dipandang, malah mempunyai keaslian tersendiri.

Juri, Fadilah Shariff dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun berkata, penilaian turut melihat cara bahan tersebut diolah, selain persembahan serta konsep hiasan yang diketengahkan.

“Antara yang kita tengok ialah kreativiti peserta, gubahan yang dibuat dan kemudian barulah kita pergi kepada masakan yang berasaskan labu,” katanya.

Dua beradik dari Dungun, Norhaliza Ismail, 35, dan Nur Dayani, 40, pula membawa pulang kemenangan menerusi Talam Labu Seiring, yang menggunakan labu dan santan tanpa campuran pewarna.

Norhaliza berkata, kejayaan itu turut didorong persediaan awal apabila mereka melakukan penyelidikan dan merancang konsep hidangan serta hiasan sebelum acara berlangsung.

“Alhamdulillah, memang tidak sangka dapat nombor satu. Menu ini biasa sahaja bagi saya, cuma kami gunakan labu asli dan bahan daripada labu itu sendiri tanpa pewarna,” katanya.

Bila ditanya berkenaan dengan program ini, beliau menjawab, dapat tahu dari media sosial Ameerah kawasan Kemaman.

Gelagat 20 Bayi Comel Ceriakan Himpunan TMT 2.0

Di meja bersebelahan, kuntuman bunga pula disusun mengikut bentuk, ketinggian dan padanan rona bagi menghasilkan persembahan yang sedap dipandang.

Juri, Kak Ti berkata, susunan yang terlalu sarat boleh menjejaskan keseluruhan hasil, justeru keseimbangan antara bunga dan daun menjadi antara perkara yang diberi perhatian.

“Kalau bunga terlalu banyak warna, gubahan boleh nampak serabut. Kita tengok bagaimana peserta menggabungkan warna bunga dengan daun supaya sesuai dan seimbang,” katanya.

Tambahnya, kedudukan bunga pada aras tinggi dan rendah juga perlu diteliti supaya hasil akhir mempunyai bentuk yang jelas serta tidak kelihatan sekadar bunga yang dicucuk tanpa susunan.

Daripada telatah bayi hingga imaginasi kanak-kanak, daripada labu yang disulap menjadi hidangan kepada bunga yang dirangkai penuh ketelitian, setiap sudut program menampilkan cerita tersendiri.

Mungkin tidak semua pulang sebagai juara, namun setiap tangan yang berani mencuba telah membawa pulang sesuatu yang lebih berharga, pengalaman, keyakinan dan kenangan yang akan terus diingati.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan