Terengganu, Malaysia

As-Sabiqun Terus Bersemangat Meneruskan Perjuangan

As-Sabiqun Terus Bersemangat Meneruskan Perjuangan

DUNGUN – Semangat juang golongan veteran dan ahli veteran PAS melalui entiti As-Sabiqun terus bersemarak apabila sambutan luar biasa sehingga memenuhi ruang Dewan Arena Square.

Ketua As-Sabiqun PAS Kawasan Dungun, Cikgu Alias Harun menyifatkan sambutan hangat itu sebagai bukti jelas bahawa usia bukanlah penghalang untuk golongan veteran terus aktif dan relevan dalam arus perdana perjuangan Islam.

“Program yang menghimpunkan ahli-ahli As-Sabiqun dari lapan kawasan di seluruh negeri ini membuktikan komitmen tinggi generasi terdahulu untuk kekal istiqamah dan terus menyumbang tenaga serta buah fikiran demi memperkukuh gerak kerja parti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian mengulas Himpunan As-Sabiqun yang berlangsung di Dewan Arena Square di sini pada petang Khamis, 19 November.

Menurut beliau yang merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, kehadiran luar biasa dari kelapan-lapan kawasan tersebut menunjukkan bahawa roh perjuangan dalam kalangan ahli lama masih utuh dan sentiasa bersedia menggembleng tenaga apabila diperlukan oleh kepimpinan.

“Kesatuan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli As-Sabiqun ini amat penting sebagai pemangkin semangat serta contoh teladan kepada generasi pelapis dan golongan muda dalam parti.

“Pengalaman luas yang dimiliki oleh ahli-ahli veteran dalam menghadapi pelbagai tribulasi politik terdahulu merupakan aset berharga yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera parti hari ini,”jelasnya.

Selain menjadi medan pertemuan dan mengeratkan ukhuwah sesama penggerak lama, himpunan di Dewan Darul Ansar itu turut berperanan sebagai platform perkongsian pandangan bagi mendepani cabaran politik semasa.

Dalam pada itu, Cikgu Alias menyeru agar semua ahli As-Sabiqun di setiap kawasan terus memperkukuh saf dan memastikan hubungan erat antara kepimpinan lama serta baharu sentiasa terpelihara demi kelangsungan perjuangan di peringkat akar umbi.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan