UPDI, i-MiTS Mengorak Langkah Ke Hadapan

3668

Oleh : MNA

KUALA TERENGGANU – Unit Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) akan segera mengerakkan jentera masing-masing, ke hadapan.

Pengarah UPDI, Ustaz Mohd Soud Said berkata, seramai 46 orang kakitangan baharu bagi kedua-dua agensi tersebut akan membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.

Beliau berharap kakitangan baharu itu, akan melaksanakan gerak kerja penerangan dan dakwah yang telah dirancang secepat dan sebaik mungkin, sebagaimana yang diharapkan.

“Seramai 24 orang untuk UPDI, telah mengangkat sumpah menerima jawatan sebentar tadi dan baki seramai 40 orang lagi akan masuk pada 15 Ogos ini.

“Kami merancang dalam masa terdekat ini untuk mengadakan program dialog dengan MB dan Exco di semua lapan daerah bagi memberikan penerangan secara langsung kepada rakyat berkaitan dengan perancangan dan hasil yang telah kerajaan lakukan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Pengarah i-MiTS Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata, dengan pengambilan baharu ini, mereka ini akan membantu memudahkan kerja-kerja khususnya dalam menjanakan kekuatan kerajaan supaya menepati motto Maju Berkat Sejahtera.

“Saya menaruh keyakinan sepenuhnya semua yang baharu menandatangani surat tawaran jawatan itu adalah yang terbaik yang akan memberikan komitmen yang terbaik kepada Kerajaan Negeri.

“i-MiTS adalah diasaskan kepada modal insan, dan kita akan menggarapkan jiwa manusia tersebut supaya menjadi manusia yang tepat mengikut Al-Quran dan Hadis,” terang beliau mengenai peranan i-MiTS.

Kedua mereka ditemui sejurus selesai Majlis Angkat Sumpah Jawatan kakitangan kontrak baharu di Dewan Syarahan Tingkat Dua, Wisma Darul Iman hari ini, Rabu 1 Gos.

Majlis lafaz ikrar tersebut diketuai oleh Pegawai Khas Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Ukashah Hassan disempurnakan di hadapan Setiausaha Bahagian (Pengurusan Sumber Manusia) Haji Marzuki Endut.

Sebelum itu, Marzuki turut memberikan ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas berkenaan tugas sebagai seorang penjawat awam.

Beliau menekankan setiap kakitangan menjaga disiplin agar tidak mencemarkan nama baik Kerajaan Negeri dan juga mengingatkan kepada hukuman yang bakal dihadapi jika didapati bersalah melakukan jenayah.