KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Marang menempelak Umno bahagian tersebut kerana didakwa mengelirukan rakyat berhubung pembinaan Dewan Terbuka di Pekan Bukit Payong.
Ketua Penerangannya Mohamad Aswadi Mohamad, Umno sekali gus menimbulkan persoalan sama ada parti itu benar-benar memahami fakta atau sebenarnya tidak mahu rakyat menikmati kemudahan yang lebih selesa.
Soal beliau, bagaimana mungkin sebuah parti yang berpengalaman cukup lama menjadi kerajaan mempersoalkan kewajaran projek berkenaan, termasuk menuding kepada ADUN Bukit Payong dan Majlis Daerah Marang?
Menurutnya, projek tersebut diluluskan oleh Kerajaan Madani yang sama didokong Umno, melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), berdasarkan tujuan asal pengambilan tanah di kawasan terbabit.
“Amat menghairankan apabila Umno Marang menyerang projek ini dengan hujah ‘ekonomi’ dan ‘analisis kos faedah’, seolah-olah mereka mempertikaikan keputusan agensi Persekutuan, agensi di bawah kerajaan yang mereka sendiri sokong di Putrajaya.
“Jika projek ini benar-benar dianggap tidak relevan oleh mereka, mengapa tidak dirujuk terus kepada pihak Persekutuan? Mengapa PBT dan Kerajaan Negeri pula dijadikan sasaran?,” soalnya dalam kenyataan media, pada semalam.


Mohamad Aswadi berkata, tindakan Umno Marang menyerang projek tersebut memberi gambaran parti itu tidak selesa melihat rakyat menerima kemudahan baharu dan mungkin tidak bersetuju dengan kerajaan pusat.
“Dewan Terbuka ini bukan untuk politik, tetapi untuk rakyat, ruang berteduh, tempat berhimpun, pusat komuniti, lokasi aktiviti kebajikan dan pelbagai program masyarakat,” jelasnya.
Beliau turut mengemukakan beberapa pertanyaan kepada Umno Marang, antaranya mengapa kemudahan yang jelas memberi manfaat, dipertikai dan adakah mereka lebih rela rakyat berhimpun tanpa perlindungan daripada panas atau hujan.
Mengulas dakwaan kononnya dewan itu hanya untuk ceramah, beliau menyifatkannya sebagai tidak berasas, hanya pemikiran sempit ‘parti usang’ itu.
Katanya, fasiliti sosial seperti itu mempunyai pelbagai kegunaan, meningkatkan kualiti hidup rakyat setempat.
PAS Marang turut mengingatkan Umno agar meneliti fakta dan punca kuasa sebelum membuat serangan politik yang akhirnya boleh memakan diri apabila rakyat menilai siapa yang sebenarnya tidak menyokong kemudahan untuk mereka.
“Kita mengalu-alukan apa jua pembangunan demi kesejahteraan rakyat Bukit Payong, tidak kira dari agensi mana ia datang. Jangan jadikan setiap inci tanah sebagai bahan politik murahan yang akhirnya hanya merugikan rakyat,” tegas beliau.






























