– Perkukuhkan Tarbiyah Pertingkatkan Perjuangan
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu). [ Surah At-Taubah : 41 – 42 ]
Alhamdulillah, kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah SWT kerana dengan taufiq dan ‘inayah-Nya, kita dapat meneruskan perhimpunan tahunan ini dengan penuh istiqamah dan iltizam yang jitu.
Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu atas kesungguhan menghimpunkan seluruh pemimpin parti daripada semua peringkat dalam ijtima’ kali ini dalam rangka melonjakkan kebangkitan jihad mendaulatkan Islam bagi memenuhi perintah Allah SWT serta melayakkan kita menerima ganjaran syurga dengan pengorbanan harta dan jiwa raga.
PRU-13 dan Pengajaran
Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lepas menyaksikan prestasi PAS Terengganu yang meningkat dengan peningkatan kerusi Parlimen dari dua kepada empat, dan kerusi DUN dari lapan kepada 15. Alhamdulillah, peningkatan ini menggambarkan usaha-usaha yang dilakukan telah mula memberi kesan, dan kejayaan mengambil alih pentadbiran kerajaan Terengganu semakin hampir.
Sudah tentu terdapat banyak pengajaran yang sentiasa perlu dikutip oleh kesemua kepimpinan dan ahli agar gerak kerja yang lebih kemas dan berkesan dapat dilaksanakan, serta kelemahan-kelemahan dapat diatasi. Post mortem PRU-13 mesti diberi perhatian serius agar PAS Terengganu dapat terus melangkah maju ke hadapan dan jangan pula sekali-kali mundur ke belakang.
Persiapan Tarbiyah Menuju Kemenangan
Persiapan menuju Wisma Darul Iman perlu dimulakan dari sekarang, dan tidak boleh bertangguh lagi. Saya menganggap ijtima’ kita hari ini sebagai langkah permulaan yang amat penting dalam menyusun organisasi, khususnya para kepimpinan, dalam bergerak sebagai satu saf, tidak boleh dibenarkan sebarang keretakan untuk mencapai kedaulatan Islam di bumi Terengganu ini.
Walaupun begitu, perlu saya peringatkan bahawa matlamat kita bukan Wisma Darul Iman. Pemerintahan dan kuasa hanyalah satu kaedah dalam melaksanakan Islam di bumi Terengganu atau di mana-mana. Maka jangan sekali-kali pemikiran kita terlalu dikuasai oleh perkiraan menguasai WDI semata-mata. Perancangan mestilah melampaui pilihan raya. Kita tidak boleh lagi berfikiran terlalu pendek dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya sahaja, tidak pernah lebih dari 4 – 5 tahun. Mungkinkah budaya berfikiran pendek dan di sekitar pilihan raya sahaja ini telah menggagalkan kita dari mencapai kejayaan yang lebih besar selama ini?
Ada dua aspek yang perlu ditekankan dalam konteks ini:
Pertama – Kita mestilah mempunya perancangan jangka pendek dan panjang. Biarlah kita mampu merancang melangkau sehingga 10 – 15 tahun.
Kedua – Pemikiran dan perancangan kita mestilah melihat gerak kerja jamaah yang lebih besar dari aktiviti politik. Ini bermakna, kita tidak boleh merasaakan sumbangan kita kepada masyarakat hanya boleh dilakukan selepas kita memerintah. Kita perlu berusaha semampu kita memberi sumbangan positif kepada rakyat walaupun dalam keadaan penuh kekangan.
Program-program dakwah, tarbiyah dan kebajikan menjadi kekuatan sumbangan kita. Jika ianya dilaksanakan dalam keadaan kita belum memerintah, kesannya adalah besar lagi di hati rakyat. Keikhlasan kita berkhidmat kepada mereka atas nama Islam akan lebih terserlah. Kesusahan dan kesungguhan kita membantu mereka akan meresap masuk ke hati sanubari mereka. Dan inilah yang akan membawa kemenangan politik kepada kita. Lebih-lebih lagi dalam keadaan parti pemerintah UMNO/BN gagal mengambl berat akan keperitan hidup rakyat. Musibah banjir yang melanda Kemaman, Dungun dan beberapa tempat lain baru-baru ini telah menjadi sebutan rakyat. Rakyat telah dapat melihat kesungguhan orang-orang PAS bersusah payah membantu mereka dalam keadaan pihak pemerintah bersenang-lenang di dewan berhawa dingin di PWTC. Gunakan momentum dari peristiwa banjir itu sebagai asas gerakan kita membantu rakyat sekalipun kita masih belum memerintah.
Saya ulangi gesaan saya sekali lagi, bahawa gerakan menuju Wisma Darul Iman adalah amat diutamakan dan perlu perancangan serius dari sekarang, namun pada waktu yang sama pemikiran kita tidak boleh disekat oleh sekadar keperluan berpilihanraya, mestilah melangkaui empat lima tahun dan sumbangan kita pula tidak boleh disekat oleh kekangan yang ada, sebelum kita menjadi pemerintah.
Kekuatan dan Kelemahan Kita
Dalam merancang dan bertindak, muhasabah adalah permulaan yang amat penting. Menilai kekuatan dan kelemahan kesemua aspek gerak kerja kita menjadi kemestian yang perlu dilakukaan dari semasa ke semasa. Kepimpinan mestilah bersikap terbuka dan berfikiran positif mengakui kelemahan serta kesilapan yang mungkin telah dilakukan. Melalui proses inilah, insya’ Allah, Allah SWT akan membuka jalan-jalan-Nya dan nusrah Allah akan turun.
Saya dimaklumkan, daripada kajian dan tinjauan yang dilakukan, rakyat Terengganu memberi markah yang tinggi kepada imej kepimpinan PAS Terengganu yang bersih. Pengundi juga memberi gambaran yang sangat baik terhadap PAS sebagai pendokong perjuangan Islam. PAS juga diketahui umum mempunyai tenaga penggerak yang paling komited. Ini semua adalah kekuatan kita yang perlu diperkasakan lagi.
Kelemahan kita pula ialah banyak berkaitan dengan persepsi rakyat terhadap imej kita. Sama ada persepsi ini betul atau tidak, adalah kurang penting. Yang jelasnya, kita telah gagal membentuk persepsi rakyat. Walaupun pihak parti pemerintah dengan sesetengah media massa melakarkan imej yang tidak benar terhadap kita, tapi itu memang telah menjadi kerja mereka yang kita telah maklum. Persoalannya, apakah kita sendiri telah membuat kerja secukupnya untuk membina imej posiitif dan menfaikan imej negatif?
PAS Terengganu mestilah menonjolkan kepimpinan yang bukan sekadar bersih, baik dan alim, tetapi juga imej berkredibel, kompeten, professional dan berdaya maju. Imej-imej ini pula bukan sekadar membentuk persepsi, tetapi mestilah dibuktikan melalui gerak kerja kita sehari-hari di pelbagai peringkat. Organisasi, kepimpinan dan ahli mestilah diperkasakan melalui sistem pengurusan yang sistematik, engagement dan interaksi dengan pihak organisasi kerajaan, NGO dan swasta serta program-program kebajikan dan penerangan yang sampai ke hati rakyat. Ini semua akan dapat meyakinkan rakyat bahawa PAS benar-benar mampu dan bersedia membawa perubahan yang lebih berkemajuan dan berkebajikan kepada rakyat Terengganu.
Cadangan Strategi
Antara strategi yang saya ingin cadangkan di sini untuk dipertimbangkan adalah:
Pertama – Memperkasakan tiga program utama iaitu Dakwah, Tarbiyah dan Kebajikan. Strategi serampang tiga mata ini sebenarnya adalah satu strategi sedia ada yang perlu digabung-jalinkan dalam bentuk dan penyampaian yang sesuai dengan keperluan dan suasana semasa.
Serampang tiga mata iaitu Dakwah, Tarbiyah dan Kebajikan (atau Strategi DTK) ini memberi penumpuan kepada kekuatan dan peranan PAS yang sebenar sebagai sebuah jamaah Islamiyyah yang syumul. Inilah tiga teras kekuatan kita yang utama yang perlu diperkasakan dan dikemaskinikan semula.
Bukan sahaja di Terengganu, bahkan PAS di seluruh negara mestilah memartabatkan semula sumber dan asas kekuatan kita yang utama ini.
Gelombang besar reformasi pada 1998/1999 menyaksikan perubahan landskap politik negara di mana parti-parti pembangkang telah menjadi parti pilihan yang sebenar yang diberi keyakinan oleh rakyat. Isu-isu dan gerak kerja yang bertunjangkan politik menjadi lebih dominan menguasai pemikiran dan perancangan kepimpinan dan ahli PAS, di mana ianya tidak lagi bersifat bermusim seperti pada era sebelum 1999.
Sebelum 1999, keseluruhan jentera politik PAS boleh dikatakan berfungsi cergas apabila tiba musim pilihan raya atau pun apabila berlakunya pilihan raya kecil di mana-mana. Dalam suasana biasa tanpa pilihan raya, gerak kerja PAS banyak didominasikan oleh gerak kerja dakwah, tarbiyah, penerangan dan pelbagai gerak kerja sebuah jamaah Islamiyyah. Di waktu itu usrah bergiat aktif di mana-mana. Seorang ahli PAS yang baharu mesti akan mencari usrahnya terlebih dahulu sebelum memberi sumbangan-sumbangan yang lain. Perkaderan tenaga muda PAS dan kemasukan keahlian kurang dikaitkan dengan kepentingan politik semata-mata, bahkan benar-benar bermatlamat mengajak mereka bersama-sama dalam sebuah perjuangan Islam dalam pelbagai bentuknya.
Walaupun Era Post-Reformasi menyaksikan gerak kerja politik begitu terkehadapan sekali, dan gerak kerja lain termasuk dakwah dan taribiyah seperti dikesampingkan, perlu kita memahami akan perubahan ini dengan sebaiknya agak kita tidak membuat kesilapan dalam mengambil sesuatu tindakan. Gerak kerja politik yang terkehadapan dan berterusan bukanlah sesuatu yang tidak elok. Bahkan ianya sesuatu yang perlu sesuai dengan kehendak dan harapan rakyat kepada PAS dan parti-parti rakan yang lain. Ini adalah sesuatu yang perlu diteruskan dan tidak boleh kembali bermusim seperti dahulu lagi.
Aspek yang sedikit kurang baik dalam perkembangan ini bukanlah terletak ke atas bahu mereka yang terlibat dengan politik, tetapi terletak di atas bahu kita sendiri yang kurang mengambil cakna tentang aktiviti utama kita yang lain iaitu dakwah, tarbiyah dan kebajikan. Dengan kata lain, aktif dalam berpolitik tidak menghalang kita dari aktif dalam berdakwah, bertarbiyah dan aktiviti kebajikan.
Suatu perancangan kerja yang berkesan perlu dibangunkan agar dakwah, tarbiyah dan kebajikan menjadikan sumbangan politik kita semakin besar serta efektif.
Saya mempunyai keyakinan, dengan memfokuskan kepada tiga serangkai – DTK iaitu Dakwah, Tarbiyah dan Kebajikan ini, pengaruh politik kita akan lebih diterima rakyat dan lebih kekal penerimaan mereka tersebut.
Sudah tiba masanya di mana gerak kerja politik kita bukan hanya untuk membentuk persepsi semata-mata sebagaimana politik UMNO/BN, tetapi sebuah gerakan politik yang berasaskan kepada sumbangan sebenar kita kepada rakyat keseluruhannya.
Sumbangan sebenar, kerja sebenar yang kita lakukan di akar umbilah yang bakal memastikan kejayaan kita, yang sukar diganggu-gugat oleh apa-apa ugutan, tekanan mahupun taburan habuan oleh pihak UMNO.
Dengan dakwah dan tarbiyah yang menyelamatkan mereka dari arus keduniaan melampau kepada kembali menjadi muslim yang beriman dan beramal. Dari seorang yang resah gelisah kepada ketenangan di bawah kehidupan secara Islamik. Dari Mat Rempit kepada Mat Surau/Masjid. Dari perbalahan dalam keluarga dan masyarakat kepada persefahaman dan keharmonian kehidupan secara takwa, yang mana ini semua akan membuahkan kepuasan dan kesyukuran di hati mereka, yang seterusnya akan meyakinkan mereka untuk bersama kita dalam apa jua keadaan sekalipun.
Inilah senjata ampuh yang bakal menenggelamkan serangan rasuah duit dalam pelbagai bentuk yang begitu lama memenjara pemikiran dan hati rakyat selama ini. Jawapannya terletak kepada dakwah, tarbiyah dan kebajikan, insya’ Allah.
Pendekatan Dakwah Berkesan
Dakwah ialah aktiviti bersifat “keluar” di mana kita menjadikan mereka yang berada di luar PAS sebagai sasaran dakwah kita. Ini termasuklah golongan atas pagar, penyokong UMNO/BN mahupun golongan bukan Islam. Walau bagaimanapun, aktiviti dakwah mestilah diberi nafas-nafas baru yang bakal menarik pelbagai kumpulan masyarakat kepada Islam. Pelbagai pendekatan yang mestilah berada dalam lingkungan sunnah Rasulullah SAW perlu dibangunkan sesuai dengan perkembangan pemikiran, budaya serta teknologi semasa, agar gerak kerja dakwah menjadi lebih berkesan.
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud;
” Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [ Surah An-Nahl : 125 ]
Pendekatan dan cara yang dikemaskini ini perlu bermula dari pihak kepimpinan sendiri, dari peringkat atasan hinggalah ke peringkat kepimpinan cawangan. Seterusnya ianya diresapkan ke dalam ahli-ahli dan pendokong PAS.
Aspek utama yang perlu diberi perhatian adalah aspek budaya pemikiran kepimpinan dan ahli kita. Pemikiran kita perlulah banyak bersikap positif dan inklusif. Mereka yang berada di luar daripada lingkungan kita seperti golongan atas pagar, mereka yang tidak berparti, golongan bukan Islam mahupun ahli-ahli parti lain termasuklah ahli UMNO/BN bukan lagi dilihat sebagai musuh politik.
Pemikiran yang positif dan inklusif melihat mereka ini sebagai golongan yang perlu diajak dan diyakini untuk bersama kita. Pemikiran yang banyak berasaskan kepada kotak pertentangan PAS – UMNO perlu dikurangkan dan diganti dengan pemikiran yang berasaskan kepada Da’ie dan Mad’u.
Kita semua adalah para Du’aat, para pendakwah yang mesti berusaha mengajak mereka kepada cara hidup Islam. Mereka adalah golongan yang memerlukan kepada ilmu dan bimbingan. Setiap kepimpinan dan ahli PAS mesti memainkan peranan masing-masing dalam berdakwah kepada mereka. Lajnah baru iaitu Lajnah Dakwah telah ditubuhkan bagi merancang, melaksana dan memantau aktiviti dakwah ini.
Melalui aktiviti dakwah ini PAS bergerak dari menjadi parti yang bersifat eksklusif kepada parti inklusif. Insipirasi dari slogan “PAS Untuk Semua” perlu sentiasa diteruskan agar kita dapat membawa manusia bukan sahaja kepada politik Islam, tetapi lebih luas lagi kepada perjuangan dan cara hidup Islam keseluruhannya.
Saya juga ingin mencadangkan agar PAS Terengganu dapat mengemblengkan kesemua tenaga yang ada untuk aktiviti dakwah secara berkesan. Ini termasuklah melibatkan personaliti pendakwah yang dikenali awam yang boleh menarik penyertaan pihak awam ke program-program yang dianjurkan.
Ustaz Azhar Idrus dengan fenomenanya telah memberi kesan yang sangat baik kepada para pemuda dan masyarakat amnya. Saya yakin kesan ini juga telah memainkan peranannya dalam keputusan pilihan raya yang lalu. Selain Ustaz Azhar, Terengganu mempunyai ramai lagi para pendakwah selebriti yang boleh bersama dengan kita. Kita tidak semestinya perlu letak logo PAS setiap kali mengadakan aktiviti. Mungkin kita juga boleh anjurkan program-program atas nama NGO-NGO atau badan-badan tertentu, yang mana ini menjadikannya lebih mudah untuk mereka bersama dalam program kita.
Persiapan Tarbiyah Menuju Kemenangan
Kalau Dakwah ialah aktiviti luaran, Tarbiyyah pula ialah aktiviti dalaman.
Dakwah menarik mereka yang di luar untuk bersama di dalam saf dan organisasi jamaah Islamiyyah PAS. Setelah mereka berada bersama kita, kita bertanggungjawab memberi tarbiyah dan pendidikan kepada mereka. Tarbiyah mestilah bermatlamatkan bukan sekadar undi pilihan raya sahaja, bahkan yang lebih utama ialah mendekatkan mereka kepada Allah, meningkatkan taqwa, menambah kefahaman tentang kehebatan Islam dan cara hidupnya termasuklah dalam berpolitik.
Tetapi, tarbiyah bukanlah hanya untuk ahli baru PAS. Bahkan kepimpinan dan ahli yang sedia ada di dalam PAS pun perlu sentiasa melalui proses tarbiyah sama ada secara formal atau tidak.
Tarbiyahlah yang menjadikan ahli dan pendokong PAS merasa istimewa untuk bersama PAS. Tarbiyah melahirkan kepimpinan dan pekerja gerakan Islam yang meningkat komitmennya, sanggup berkorban dan sentiasa melaku islah atau penambahbaikan. Kehidupan ahli PAS mestilah sentiasa mengalami perubahan ke arah yang lebih baik dalam segala aspek kehidupan mereka. Ilmu dan kefahaman mesti ditambah. Kemahiran dan pengalaman juga mesti dikembangkan.
Tarbiyah perlu berlaku bukan sahaja secara pengajian atau aktiviti rasmi, bahkan ianya juga berlaku secara langsung dalam kehidupan harian kita. Kepimpinan dan ahli PAS mestilah sedar bahawa setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan mestilah dijadikan teladan mahupun sempadan, dalam mendekatkan diri mereka kepada Allah Ta’ala. Usrah adalah satu bentuk tarbiyah, pengajian di masjid surau dan di sekolah serta universiti adalah suatu bentuk tarbiyah, kehidupan kita berkeluarga dan di tempat kerja juga adalah proses tarbiyah. Malah keluar ke jalan raya menegakkan keadilan dan meningkatkan kesedaran rakyat adalah juga suatu proses tarbiyah.
Penguasaan Masyarakat Melalui Kebajikan
Seterusnya aktiviti yang perlu digabungkan serangkai bersama Dakwah dan Tarbiyyah ialah aktiviti Kebajikan. Aktiviti kebajikan adalah aktiviti yang mudah dirasai oleh rakyat, terutamanya jika ianya disumbangkan oleh kita dalam keadaan kita sendiri pun menghadapi pelbagai kesulitan. Bahkan dakwah yang berkesan selalunya disertai dengan aktiviti kebajikan yang berkesan.
Aktiviti kebajikan tidak semestinya bermaksud bantuan dalam bentuk kewangan. Kebajikan juga bukan hanya melibatkan golongan berpendapatan rendah sahaja. Kebajikan adalah lebih luas dari itu. Ia melibatkan pelbagai bentuk sumbangan kepada pelbagai golongan masyarakat.
Masyarakat amnya, sentiasa memerlukan bantuan dan sokongan. Saya yakin, di sana terdapat pelbagai bentuk bantuan yang boleh diberi kepada rakyat tanpa melibatkan kos yang tinggi. Bantuan dalam urusan bencana alam seperti banjir dan seumpamanya, bantuan dalam urusan sakit dan kematian, bantuan berkaitan persekolahan dan pendidikan, bantuan dan sokongan dalam mendapatkan peluang pekerjaan, serta bantuan dalam urusan gejala sosial remaja yang sukar dikawal adalah antara bentuk-bentuk kesusahan yang dihadapi rakyat yang memerlukan sokongan kita. Pelbagai bentuk sokongan pula boleh dikenalpasti tanpa kos kewangan yang tinggi.
Saya berasa yakin, bantuan yang bersungguh-sunguh diserta dengan keikhlasan yang tinggi adalah lebih dirasai dan dihargai rakyat daripada bantuan beruapa rasuah wang yang diberi pihak-pihak tertentu.
Peristiwa banjir besar di Kemaman dan Dungun serta Kuantan baru-baru ini telah menjadi suatu bukti yang besar kepada masyarakat akan kesungguhan dan komitmen serta keikhlasan ahli-ahli PAS dalam membantu mereka yang memerlukan. Saya difahamkan pelbagai bentuk sumbangan datang mencurah-mencurah dari segenap pelusuk negara dari kalangan ahli-ahli PAS. Sumbangan dan bantuan pula diberikan tanpa memilih bulu; tiada perkiraan PAS atau UMNO di kalangan mereka yang ditimpa musibah, untuk diberi pertolongan sekadar yang kita mampu.
Kita tidak sekaya UMNO dari segi kewangan, tetapi kita lebih dahulu memberi bantuan. Kita tidak sehebat UMNO dari segi jentera dan peralatan, tetapi kitalah yang berada bersama rakyat mengharungi air dan meredahi hujan menyampaikan sokongan dan bantuan. Inilah bentuk program kebajikan yang mampu kita lakukan yang saya percaya ianya lebih berkesan dari pelbagai janji UMNO/BN yang mana sebahagiannya masih tidak tertunai hingga kini.
Saya juga dimaklumkan bahawa Lajnah Kebajikan, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu sedang merancang untuk menubuhkan badan-badan kebajikan seperti Badan Khairat Kematian yang memudahkan urusan bagi keluarga yang menghadapi kematian. Saya menyokong penuh inisiatif ini, dan berharap ianya dapat dikembangkan ke semua cawangan PAS di seluruh negeri.
Sedikit cadangan penambahbaikan untuk dipertimbangkan di sini. Kalau boleh nama badan ditambah sedikit; Badan Khairat Kematian di ubah ke Badan Khairat Kematian dan Kebajikan Rakyat. Dengan perubahan ini, badan tersebut boleh mengembangkan program kebajikan bukan untuk hal-hal kematian sahaja, bahkan juga untuk keperluan-keperluan lain mengikut kemampuan masing-masing. Walaupun perkataan Khairat dan Kebajikan tu macam berulang, tapi tidak apalah, asalkan orang ramai mudah faham.
Dengan strategi tiga serangkai – Dakwah, Tarbiyah dan Kebajikan, dilaksanakan melalui pendekatan Da’ie dan Mad’u secara inklusif, kita akan dapat menguasai minda dan hati rakyat. Merekalah yang sama-sama bergerak menuju Wisma Darul Iman, insya’ Allah.
Inilah inspirasi dari gerakan Rasulullah SAW dan para sahabat. Kita perlu mencontohi bagaimana Rasulullah SAW menekankan kepada aktiviti-aktiviti mendakwah, mentarbiyah dan membawa kebajikan kepada manusia, yang seterusnya membawa kepada kekuatan politik mereka.
Penerangan Efektif
Cadangan strategi kedua memfokuskan kepada aktiviti Penerangan. Aktiviti penerangan selepas ini mestilah memberi perhatian kepada aspek keberkesanan program. Satu bentuk penilaian keberkesanan mungkin perlu dibangunkan supaya parti boleh menentukan tahap keberkesanan sesuatu aktiviti yang dilakukan.
Dengan ini, kita akan dapat mengenalpasti bentuk-bentuk aktiviti yang perlu diberi keutamaan supaya kita tidak merugikan sumber-sumber kewangan dan tenaga kita bagi aktiviti yang tidak berkesan.
Saya berpandangan, bagi memastikan sesuatu aktiviti penerangan itu berkesan, tindakan awal yang perlu dilaksanakan ialah mengenalpasti golongan sasaran bagi aktiviti tersebut.
Mengenalpasti sasaran bukan hanya membahagikan mengikut kategori lelaki, wanita, pemuda, pemudi, latar belakang pendidikan dan seumpamanya. Bahkan adalah penting untuk mengenalpasti sasaran golongan berpengaruh dari kalangan pelbagai kategori tersebut. Contohnya dalam kalangan pemuda di sesebuah kampung atau DUN, siapakah yang mempunyai pengaruh di antara mereka. Begitu juga dalam kalangan wanita, remaja perempuan, mahupun di peringkat kampung atau kawasan keseluruhannya.
Dengan memberi fokus kepada kumpulan berpengaruh ini, yang mana bilangannya sudah tentu tidak ramai, kita mungkin akan dapat meningkatkan keberkesanan, di samping mengurangkan penggunaan tenaga serta sumber kewangan.
Untuk tujuan ini, adalah penting agar maklumat dan data berkaitan sesuatu cawangan, kampung atau DUN dikemaskini dari awal. Kita tidak perlu tunggu dekat pilihan raya, baru hendak membuat culaan. Bahkan data yang diperlukan adalah lebih luas dari data culaan pengundi yang biasa kita buat.
Aktiviti penerangan agar memberi lebih tumpuan kepada sasaran-sasaran tertentu. Tidak boleh lagi kita banyak membuat aktiviti penerangan yang terlalu umum tanpa memfokus kepada sasaran tertentu secara tepat. Ini hanya akan melibatkan kos dan tenaga yang banyak sedangkan keberkesanannya diragui. Perlu dikenalpasti individu-individu yang disegani di peringkat kampung termasuk dari kalangan pemuda, wanita dan organisasi kampung seperti masjid dan lain lain. Inilah golongan yang perlu diberi lebih tumpuan kerana mereka akan dapat mempengaruhi orang lain untuk turut memberi sokongan kepada PAS.
Allah Ta’ala juga berfirman yang bermaksud;
” Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka”
Satu lagi aspek bagi meningkatkan Penerangan Efektif adalah dengan merancang dan mengkaji isu atau agenda yang hendak disebarkan kepada pihak awam. Penerangan perlu mengambilkira dua aspek iaitu tindak balas terhadap isu-isu yang berbangkit dari semasa ke semasa, dan penerangan agenda kita sendiri. Penerangan tidak boleh hanya berperanan utuk menjelaskan isu-isu yang timbul sahaja. Jika kita asyik mebalas isu orang lain, kita hanya akan disibukkan oleh mereka dan tidak sempat untuk menyebarkan agenda kita sendiri.
Oleh itu, sebuah agenda penerangan perlu dibangunkan dan dijadualkan pengeluarannya. Sesetengah agenda kita perlu diteruskan setiap masa tanpa mengira isu-isu semasa yang timbul.
Anjakan Mentaliti dan Kefahaman Politik Rakyat
Antara agenda penerangan yang sangat penting ialah agenda merubah pemikiran dan mentaliti rakyat.
Firman Allah yang bermaksud; Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya? “Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? “(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?” (Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka. [ Surah Az-Zukhruf : 51 – 54 ]
Salah satu faktor yang memberi kemenangan kepada pihak UMNO/BN sekalipun mereka melakukan pelbagai kesalahan dan kezaliman kepada rakyat ialah mentaliti dan sikap rakyat sendiri. Jadi salah satu agenda yang sentiasa perlu digerakkan adalah ke arah merubah mentaliti yang salah ini.
Ada pelbagai mentaliti silap rakyat yang perlu dikenalpasti. Antaranya ialah:
UMNO itu Kerajaan dan Kerajaan itu UMNO.
UMNO perjuangkan kepentingan Melayu.
Kezaliman kerajaan tidak ada kena mengena dengan mereka selagi tidak mengena batang tubuh mereka.
Takut merubah kerajaan kerana akan berlaku huru hara.
Takut menyokong pembangkang kerana tindakan yang diambil oleh kerajaan terhadap mereka.
UMNO telah berjaya menanam di dalam pemikiran rakyat awam bahawa UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO. Penerangan mestilah berusaha merubah pemikiran yang salah ini.
Kerajaan adalah sebuah institusi yang terkandung di dalamnya rakyat itu sendiri, parti pemerintah, jentera pentadbiran kerajaan dan institusi Raja.
Kita mesti menanam kefahaman yang betul kepada rakyat bahawa parti pemerintah hanya salah satu unsur di dalam sesebuah kerajaan.
Kita juga perlu menjelaskan bahawa hasrat PAS hanyalah menukar parti pemerintah dari UMNO yang lemah dan korup, kepada PAS yang berasaskan kepada kemurnian cara hidup Islam. Maksudnya, yang hendak ditukar bukan keseluruhan kerajaan, tetapi hanya parti pemerintah. Tiga unsur kerajaan lain iaitu rakyat sendiri, jentera atau pegawai kerajaan, dan sultan tidak akan berubah.
Kesilapan pemikiran ini juga mungkin berlaku dalam kalangan ahli mahupun kepimpinan PAS sendiri. Sebabnya, kita selalu sebut “tukar kerajaan, tukar kerajaan” sedangkan yang kita maksudkan ialah “tukar parti pemerintah”. Maknanya kita sendiri pun ada saham dalam menanam pemikiran silap rakyat ini.
Jadi Lajnah Penerangan kena fikir kaedah-kaedah yang dapat merubah mentaliti rakyat termasuk di kalangan ahli kita sendiri.
Mengurus Media Baru
Satu lagi aspek yang tidak boleh dinafikan lagi kepentingannya dalam meningkatkan keberkesanan Penerangan ialah media baru atau media alternatif.
Perkembangan ICT menyaksikan bahawa generasi yang akan datang tidak lagi tertumpu kepada media perdana sahaja. Bahkan mereka mendapatkan maklumat lebih banyak dari media-media baru, terutamanya yang menggunakan internet. Media baru dalam pelbagai bentuknya terutama sekali dalam bentuk media sosial seperti Facebook, Twitter dan WhatsApp menyampaikan lebih banyak maklumat secara lebih bebas mengatasi media perdana.
Sebuah perancangan yang kemas perlu dibangunkan oleh PAS Terengganu bagaimana media baru ini dapat ditingkatkan lagi penggunaannya untuk pelbagai aktiviti parti, sama ada politik, dakwah, tarbiyah, kebajikan mahupun yang lain lagi.
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud;
” Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. [ Surah Az-Zumar : 18 ]
Strategi ketiga yang saya mahu cadangkan ialah melakukan sistem kerja organisasi parti yang lebih berstrategi dan bersistematik. Program pemerkasaan parti sama ada dari sudut kepimpinan, mahupun ahli, mestilah disertai dengan sistem pemantauan yang praktikal. Biarlah PAS Terengannu menjadi peneraju dalam perkara ini. Dengan ini gerak kerja kita di semua peringkat akan lebih tersusun, mudah dipantau, dan mudah untuk ditambahbaik. Dengan ini harapnya gerak kerja kita akan lebih berkesan sambil dapat pula dikurangkan kos dan sumber tenaga.
Saya faham, bahawa ramai di antara kita sudah selesa dengan suasana kerja kita selama ini. Selalunya bila berlaku isu barulah kita jadi sibuk, atau pun bila tiba pilihan raya baru kita naik semangat buat kerja. Walaupun kita sudah terbiasa begitu, kita tidak boleh lagi cukup dengan budaya kerja tersebut. Kita mestilah berani berubah supaya bantuan Allah akan turun untuk mendapat kejayaan yang bertambah. Kalau budaya kerja kita serupa sahaja untuk puluhan tahun, maka kita akan hanya dapat hasil yang serupa juga selamanya. Tidak mungkin hasil kita tiba-tiba berubah, kalau kita tidak merubah apa-apa terutamanya tentang budaya kerja kita.
Para peserta ijtima kepimpinan PAS Terengganu yang dikasihi sekelian.
Persediaan Memerintah
Dengan hanya perbezaan satu kerusi DUN, kita sekarang ini berada di ambang kejayaan membawa balik pemerintahan kerajaan negeri Terengganu ke bawah pentadbiran Islam.
Sebagai pesanan terakhir saya dalam ucapan ini, saya suka memperingatkan bahawa kita telah melalui pengalaman yang banyak dalam urusan pemerintahan kerajaan negeri melalui pengalaman kita sendiri di Terengganu mahupun sahabat-sahabat serta rakan-rakan di Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
Di antara pengalaman penting yang perlu dipelajari ialah membuat persiapan. Janganlah tunggu sampai ke laut baru hendak dicari pancing dan umpan, atau sudah sampai ke hutan, baru hendak dicari senapang berburunya. Ketika awan mula mendung, guruh baru bermula, payung sudah pun ada di tangan.
Jika ditakdirkan Allah kita menguasai kerajaan negeri Terengganu, maka sebenarnya bebanan tugas dan tangungjawab akan berubah dengan banyaknya. Seorang wakil rakyat tidak lagi cukup dengan peranan bersama rakyat, mereka perlu memainkan peranan sebagai penggubal undang-undang di DUN dengan berkesan, bahkan sebahagian akan memainkan peranan sebagai Exco yang sudah tentu bebanannya amat besar. Kita berhadapan dengan amanah kepada rakyat dan pertanggungjawaban di hadapan Allah Rabbul- Jalil.
Lakukanlah kesemua persediaan ini dari awal. Buatlah pelbagai program latihan, seminar dan seumpamanya. Fahami selok-belok dan struktur perjalanan pentadbiran sebuah kerajaan negeri. Jika kita belum berjaya sekalipun, sekurang-kurangnya kita menimba pelbagai ilmu yang sudah tentu akan diganjari Allah SWT.
Akhir kalam, saya mengucapkan syabas kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu kerana menganjurkan ijtima’ yang amat bermakna ini, dan saya doakan semoga ijtima’ ini dapat berjalan dengan sebaik-baiknya dengan suasana yang penuh ukhuwwah di antara peserta, lalu seterusnya mencapai objektif yang ditetapkan.
Sekian.