Tuan Guru Presiden PAS Suarakan Penderitaan Rakyat

431
Ustaz Mohd Harun Esa

KUALA TERENGGANU – Tindakan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang tampil menyuarakan penderitaan rakyat berhubung kenaikan harga minyak disambut sebagai suara yang mewakili keresahan masyarakat ketika ini.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, ketika rakyat berdepan tekanan kos hidup yang semakin meningkat, kerajaan dilihat gagal memberikan penjelasan yang meyakinkan, sebaliknya bertindak menyerang pihak yang membangkitkan isu tersebut.

Menurutnya, reaksi itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mencerminkan kegagalan dalam mengurus isu yang sangat dekat dengan kehidupan rakyat.

“Lebih mengecewakan apabila teguran berasas dibalas dengan tuduhan serta naratif untuk menutup kelemahan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, rakyat berhak mempersoalkan kenaikan harga minyak dalam negara, khususnya apabila negara jiran seperti Thailand dilihat mampu mengekalkan atau menurunkan harga bahan api.

Katanya, perbandingan itu bukan sekadar retorik, malah merupakan realiti yang dirasai rakyat, selain pernah dicadangkan oleh pimpinan dalam parti kerajaan sendiri agar formula negara tersebut dikaji.

“Persoalannya, mengapa cadangan itu tidak diambil serius?” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak walaupun harga minyak dunia menunjukkan trend penurunan.

Menurutnya, serangan terhadap Tok Guru sebelum pengumuman kenaikan harga pada 8 April menimbulkan persoalan sama ada wujud usaha terancang untuk mengalih perhatian rakyat daripada keputusan yang tidak memihak kepada mereka.

“Pelbagai alasan diberikan termasuk faktor harga global, kos insurans dan pengangkutan, namun persoalannya, adakah hanya Malaysia yang menanggung kos tersebut?” katanya.

Tambah beliau, rakyat kini semakin bijak menilai dan melihat isu tersebut bukan semata-mata berpunca daripada faktor luaran, tetapi turut melibatkan aspek kecekapan, kejujuran serta keutamaan dalam pentadbiran.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya berhenti memberikan alasan dan mula mengambil tanggungjawab dengan menyediakan penyelesaian yang lebih berpihak kepada rakyat.