Tragedi Yang Menyayat Hati

2205

(Gambar – bertudung dengan tuala merah ialah ibu mangsa, Nor Syafiqah Abdul Kadir, bersama nenek mangsa, Roslina Daud dan datuk tiri mangsa, Hussin Damis).

BESUT – PAS menyifatkan pemergian allahyarham adik Muhammad Hairi Amsyar Abdul Rahman, lima tahun, yang dipercayai didera bapa tirinya, sebagai tragedi yang menyayat hati.

Timbalan Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat Dr Azman Ibrahim berkata, beliau tidak dapat membayangkan kesengsaraan yang dilalui seorang anak sekecil itu.

“allahyarham adik baru berusia 5 tahun dan melalui derita didera manusia berhati haiwan sejak sekian lama,

“kita memohon doa kepada Allah semoga beliau dimasukkan ke dalam syurga Allah dan semoga keluarga mangsa terus bersabar dan kuat dalam menghadapi ujian ini,

“In Sya Allah, Allah akan menggantikan kehilangan ini dengan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga allahyarham di Felda Tenang, Hulu Besut pada Jumaat, 30 Jun.

Beliau dimaklumkan oleh keluarga tersebut, bapa tiri mangsa pernah dihukum penjara enam bulan di Penjara Kajang sebelum, ini kerana kes dera terhadap mangsa yang sama.

“sebelum ini pun, bapa tirinya sudah enam bulan dipenjara, tetapi apabila keluar dari penjara,

“penderaan bersambung semula sehingga mangsa meninggal dunia,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr. Azman Ibrahim yang juga Pengerusi Lujnah yang sama bagi negeri Terengganu berkata, kesal kerana kejadian jenayah terus berleluasa di daerah Besut.

Katanya, pada bulan Ramadan lalu dan Syawal ini, telah berlaku dua kes tetak dan satu kes penderaan di daerah tersebut.

“sudah dua kes tetak dan satu kes penderaan yang berlaku dalam bulan Ramadhan dan Syawal di Besut baru- baru ini yang dikaitkan dengan gejala penagihan pil kuda,

“Ini mengambarkan masalah sosial ini begitu parah di Besut,” jelasnya.

Justeru itu, beliau mengajak semua lapisan masyarakat agar menyedari keadaan ‘kritikal’ itu dan Bersama-sama mengambil inisiatif untuk mencegah kemungkaran yang berlaku.

“Kita perlu bersama berganding bahu dengan mengenepikan sempadan perbezaan politik untuk menangani masalah yang semakin membarah ini,” tambah beliau.