Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menghantar memorandum kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Berhubung Kenaikan Tarif Elektrik pada tahun 2014. Rombongan ini diketuai oleh Ir Hj Khairil Nizam Khirudin, Ketua DPPWP merangkap Naib Ketua DPP Malaysia.
Turut hadir exco-exco DPPWP, Sdr Nurul Islam Mohamed Yusoff, Timb. Ketua DPPWP merangkap Penyelaras Kempen Bantahan Kenaikan Tarif Elektrik, Sdr Ubaid Akla, Setiausaha, Sdr Yusuf Assiddiq Ahmad Sharkawi, Pengarah Jabatan Media Baru dan Saudara Zulkarnain Borhan, Pegawai Eksekutif DPPWP.
DPPWP juga mendesak agar pihak Kerajaan Malaysia mengkaji semula penstrukturan industri tenaga domestik di negara ini. Ia harus bermula dengan keberkesanan polisi penswastaan TNB sehinggalah kepada pendedahan intipati Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bersama IPPs. Ia haruslah dibentangkan di Parlimen untuk tujuan semak imbang.
Kerajaan harus telus mendedahkan rezab kapasiti elektrik yang sedia ada untuk mengelakkan pembayaran yang tidak adil antara TNB dan IPPs. Ia bertujuan bagi memastikan keefisyenan pembayaran syarikat awam terhadap pihak yang berkepentingan tinggi dalam industri ini. Pihak kerajaan juga mestilah mendedahkan jumlah keseluruhan pembayaran pembelian tenaga yang telah dibuat daripada generasi pertama IPPs sehingga ke generasi ketiga.
DPPWP berharap agar tuntutan-tuntutan yang dikemukakan ini mendapat perhatian serius dan tindakan wajar mesti diambil bagi mengutamakan kebajikan serta kualiti hidup rakyat di negara ini.