Tiada Lagi Politik ‘Baloh’

6917

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU – Penerapan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) terus diamalkan oleh pucuk pimpinan kepada rakyat selaras saranan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar agar meninggalkan ‘Politik Baloh’ dalam Sidang Dewan yang lalu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Azman Ibrahim berkata, perbezaan politik tidak menjadi ‘asbab’ untuk tidak menjalinkan hubungan baik sesama sendiri.

“Walaupun berbeza pendapat dan pendirian politik, ukhwah Islam menyatukan kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar (Gambar atas) yang kini berada di Hospital Besut pagi semalam.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, sebagai seorang pimpinan haruslah bersikap terbuka dan tidak memilih ‘bulu’ terhadap rakyat.

“Saya meletakkan penanda aras kerja untuk menyebarkan kasih sayang.

“Dan kecaknaan kepada semua rakyat Jabi khususnya tanpa mengira parti (kerana) mereka semua rakyat kita,” ujarnya.

Katanya, Mohd Iskandar Jaafar yang ditahan di wad sejak 12 Disember lalu kerana mengalami jangkitan kuman di paru-paru.

Dr Azman juga mendoakan beliau agar dikurniakan ketabahan di atas ujian yang menimpa dan diberi kesembuhan oleh Allah terhadap beliau.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Pegawai Hal Ehwal Masyarakat, Zakaria Mahmud.