Terengganu Kaji Rampasan Tanah Tidak Sah

5231
Masjid Bujal....Keh

Oleh : Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan mengkaji dan meneliti semula tanah-tanah yang dirampas dan diambil secara tidak sah oleh mana-mana pihak di sepanjang pemerintahan yang lalu.

Menteri Besar Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri juga akan membuka permohonan tanah baharu dengan pemberian geran atau hak milik yang sah kepada rakyat Terengganu yang layak menerimanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Ucapan Perasmian Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke 14 di sini pada 4 Julai.

Dr. Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang menjelaskan bahawa sejak tahun 2014 hingga Disember 2017 sebanyak 2,996 permohonan tanah telah diluluskan kerajaan mengikut lapan kategori permohonan.

Gambar kanan – anak-anak Rosli hanya mampu mengutip alatan dapur rumah mereka yang telah dirobohkan di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tok Saboh di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Besut pada 4 Oktober 2012

Ini termasuk permohonan secara individu sebanyak 2,622 kelulusan, agensi Kerajaan Negeri (168), agensi Kerajaan Persekutuan (98), syarikat-syarikat swasta (53), UMNO (35), koperasi (lima), persatuan (12) dan kepada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (tiga).

Sebelum itu ADUN Manir, Ustaz Haji Hilmi Harun dalam ucapan menjunjung kasih terhadap Titah Ucapan Perasmian Sultan Mizan, beliau meminta Kerajaan Negeri menjelaskan jumlah kelulusan tanah yang diberikan kepada rakyat Terengganu sejak 2014 hingga Disember 2017.

Beliau turut pertikaikan rampasan tanah yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu setelah mengambil alih tapuk pemerintahan dari PAS tahun 2004.

Katanya, kerajaan terdahulu merampas tanah dan merobohkan Masjid Bujal di Kemaman secara keras dan tidak adil.

ADUN Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said bangun mempertikaikan kelulusan tanah tersebut dengan mendakwa kelulusan tanah terbabit tidak mengikut prosedur kelulusan.

“Saya tahu kelulusan tidak mengikut peraturan pejabat tanah, saya pernah menjadi Pegawai Daerah, saya tahu kaedahnya, ” jelasnya ketika mencelah ucapan ADUN Manir.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar ketika membuat ucapan pergulungan, menafikan dakwaan ADUN Kijal itu, dengan menegaskan bahawa permohonan tanah ketika itu mengikut peraturan sedia ada.

“Mereka yang dianiaya telah membawa kes itu ke mahkamah dan kes berkenaan telah menang pun, mahkamah membuat keputusan rampasan tanah tidak sah, ” katanya.

Semasa PAS memerintah Terengganu, tahun 1999 hingga 2004, Dato’ Tengku Hassan bertugas sebagai Pengarah Tanah dan Galian Terengganu.