Tekanan Kos Sara Hidup, Mahasiswa Akan Ke Kementerian Kewangan

406

Demonstrasi pada 22 Jun 2025 yang lalu menyaksikan gelombang awal mahasiswa dan anak muda bangkit menentang kezaliman-kezaliman yang berlaku dibawah Kerajaan Regim Madani Anwar Ibrahim.

2. Mahasiswa berpendapat ini adalah salah satu bentuk penindasan yang tidak sepatutnya berlaku. Kami melihat perluasan SST dan kenaikan tarif elektrik masih diteruskan juga pada 1 Julai. Kami tegas mengatakan bahawasanya antara tugas Menteri adalah untuk memastikan kebajikan-kebajikan rakyat terus terjaga bukannya tiba-tiba sibuk ingin membangunkan Kota MADANI yang seperti “Bagai kerakap di batu, hidup segan mati tak mahu” kerana bersifat tidak menentu dan tidak memberi pulangan yang signifkan buat kami rakyat Malaysia. Jangan menjadi “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran”.

3. Kami amat tidak puas hati dan kecewa dengan kelemahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pentadbiran mereka kerana tidak ada pendirian jelas terhadap perluasan SST dan kenaikan tarif elektrik. Manakan tidak, sebelum ini mereka mengatakan perkhidmatan Bank tidak termasuk dalam perluasaan skop SST, tiba-tiba beberapa hari lepas pula telah diumumkan perkhidmatan Bank juga termasuk. Begitu juga dengan buah-buahan import epal, limau dan kurma termasuklah perkhidmatan pusat kecantikan juga yang kini telah ditarik semula caj SST tersebut.

4. Pada hari ini juga, Perdana Menteri menafikan bahawasanya kenaikan tarif elektrik tidak akan menjejaskan rakyat malaysia sedangkan industri yang terkena dengan kenaikan tersebut juga berfungsi untuk mengeluarkan barangan dan perkhidmatan lalu memindahkan kos operasi kepada pengguna rakyat Malaysia. Kali ini, Mesin basuh jenama apa pula yang Bapa Reformati ini gunakan.

5. Kami melihat kedua-dua isu ini jelas dan terang lagi bersuluh menampakkan kerajaan yang ada pada hari ini terlalu ‘desperate’ tanpa ada perbincangan bersama dengan pemegang-pemegang taruh. Kerakusan dan kegelojohan mereka membuat keputsan yang tidak jelas kini menampakkan kedangkalan yang ada pada pentadbiran Anwar Ibrahim dan konco-konconya.

6. Akhirnya, kami mahasiswa akan ke Kementerian Kewangan dalam masa terdekat ini. Siap siaga semua! Kita akan menyerahkan memorandum amaran, desakan dan tuntutan mahasiswa terhadap isu kos sara hidup yang kian menggigit. Saya menjemput Anwar Ibrahim untuk turun bersama dan berjumpa kami untuk mengambil dengan tangan sendiri memorandum daripada kami!

Semoga Allah pelihara Negara daripada sebarang penindasan dan kezaliman.

Sekian. Terima Kasih.

“BERSATU MENERAJUI GERAKAN MAHASISWA”

Mohammad Azamuddin Bin Sahar
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)